Tun M fail semakan kehakiman mohon prosiding RCI Batu Puteh dijalankan secara terbuka

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman supaya prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dijalankan secara terbuka.

Bekas Perdana Menteri itu dalam afidavit sokongan berkata keputusan RCI untuk tidak mengadakan prosiding secara terbuka kepada orang awam adalah tidak munasabah.

Beliau memfailkan permohonan itu melalui Law Practise of Rafique di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif dan Timbalannya, Tan Sri Zainun Ali sebagai responden.

Turut dinamakan sebagai responden ialah ahli-ahli RCI iaitu Datuk Dr Baljit Singh Sidhu; Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin; Profesor Datin Dr Faridah Jalil; Datuk Mohammed Ridha Ham Abd Kadir; Tuan Hai Dickson Dollah dan Setiausaha RCI Zamri Misman.

Dr Mahathir memohon deklarasi bahawa beliau adalah seorang individu yang terlibat atau berkaitan dengan perkara yang sedang disiasat oleh RCI untuk mengkaji perkara mengenai pengendalian kes itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Selain itu, beliau memohon perintah melarang Md Raus daripada bertindak selaku Pengerusi RCI dan melarang Dr Baljit serta Mohammed Ridha menjadi ahli RCI.

Dr Mahathir berkata pelantikan Md Raus sebagai Pengerusi RCI menimbulkan real danger of bias kerana wujud perselisihan faham antara Md Raus dengan beliau berhubung perkara itu yang akan memberi kesan terhadap ketelusan Md Raus dalam membuat keputusan bagi prosiding RCI.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Dr Mahathir, pula mengesahkan bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan itu semalam.

“Satu perakuan segera juga telah difailkan untuk pendengaran secepat mungkin ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) mengambil kira 12 Jun ini adalah tarikh anak guam disepina untuk menghadiri prosiding RCI,” menurut peguam itu dalam kenyataan. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *