BERITA UTAMA
'Semua pemain Terengganu bawa masalah'

‘Semua pemain Terengganu bawa masalah’

PENJAGA gol Perak FC, Ramadhan Ab. Hamid mengakui setiap pemain Terengganu FC (TFC) memiliki kualiti tersendiri yang boleh memberi ancaman besar kepada mereka dalam aksi pusingan 16 Piala FA musim ini.

Justeru, menjadi tanggungjawab setiap pemain untuk lebih bijak mengawasi pergerakan pemain skuad Sang Penyu bagi memastikan pasukan dengan jolokan The Bos Gaurus (TBG) mampu mara lebih jauh di pentas Piala FA kali ini.

Perak mempunyai pengalaman yang tidak mahu diingati apabila berdepan Terengganu selepas mereka baharu sahaja tewas dengan lawan sama pada aksi pertama Liga Super tempoh hari dengan keputusan 1-3.

Bagi Ramadhan, misi pasukan adalah untuk sekurang-kurangnya layak ke pentas separuh akhir Piala FA selepas mereka hanya bertahan di pusingan kedua pada tahun 2022 dan pusingan pertama pada 2023.

“Bagi saya, semua pemain Terengganu FC boleh beri masalah kepada Perak FC untuk perlawanan itu nanti, kami tidak boleh waspada terhadap seorang dua pemain sahaja.

“Jadi kami sebagai pemain kena bermain sebagai satu pasukan untuk memastikan kita tidak tersungkur kali ini lebih-lebih lagi ini adalah pusingan kalah mati.

“Sasaran sudah pasti kalau boleh nak sampai ke separuh akhir atau bonus kalau dapat ke final tapi nak sampai ke tahap itu, kita kena lebih bekerja keras.

“Cuma tempoh hari apabila kami menang dengan Kedah Darul Aman FC, tidak dinafikan semangat kami memang tinggi untuk terus beraksi dengan cemerlang selepas ini,” katanya memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Bercakap mengenai persaingan posisi penjaga gol utama antara dirinya dengan Haziq Nadzli, penjaga gawang kelahiran Kelantan itu percaya dengan percaturan jurulatih, Yusri Che Lah untuk memastikan mereka sentiasa diberi peluang beraksi.

“Setakat ini saya dengan Haziq tiada masalah untuk bersaing secara sihat dan faham dengan pelan daripada jurulatih.

“Memang semua pemain termasuk penjaga gol nak kejar minit permainan, tetapi ada masa jurulatih akan turunkan Haziq dan selepas itu akan turunkan saya juga untuk bermain.

“Jadi tugas kami adalah untuk terus berlatih dan memberikan yang terbaik sahaja untuk merebut posisi itu secara sihat”, tambahnya.

Setakat ini, Ramadan sudah tampil dalam satu perlawanan bersama Perak iaitu ketika Perak mencatat kemenangan 2-0 ke atas skuad Sang Kenari.

Manakala, Haziq pula diturunkan dalam aksi menentang Terengganu dan PDRM FC. Kedua-dua perlawanan menyaksikan Perak keciciran tiga mata. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *