KUALA LUMPUR – Gabungan E-Hailing Malaysia menggesa syarikat e-hailing mengambil tindakan tegas termasuk ke atas seorang pemandu yang menghina Islam di hadapan penumpang, iaitu pelancong asing.
Ketua Aktivis gabungan itu, Jose Rizal berkata, tindakan memberhentikan pemandu terbabit dari perkhidmatan berkenaan wajar dilakukan serta merta kerana telah memburukkan nama Islam dan Malaysia khususnya.
Kata beliau, kenyataan pemandu terbabit menghina Islam terakam dalam satu video yang kini mula tular di laman sosial.
“Dalam video itu, pemandu berkenaan telah mengeluarkan kenyataan menghina Islam ketika berbual dengan pelancong asing yang menggunakan perkhidmatannya.
“Difahamkan dia mempertikai Islam sebagai agama rasmi dan mendakwa kebebasan tersekat termasuk larangan berjudi dan minum arak.
“Kami sangat kecewa dan terkejut sebaik dimaklumkan mengenai video berkenaan,” katanya, di sini, hari ini.
Menurut Jose Rizal, apa yang diperkatakan oleh pemandu itu berkaitan agama Islam kepada pelancong asing adalah salah dan ia memperlihatkan pemikirannya yang sempit.
Justeru, tegasnya, syarikat e-hailing perlu mengambil tindakan tegas dengan memberhentikan khidmat pemandu itu.
Katanya, syarikat pengendali juga perlu mempertingkatkan amaran serta memberikan peringatan kepada pemandu mereka supaya tidak mengulangi kesilapan seumpama itu.
“Pemandu e-hailing ini umpama duta kecil negara kita dan apabila perkara sebegini berlaku, ia bukan sahaja menjejaskan syarikat terbabit tetapi juga negara (rosakkan keharmonian).
“Disebabkan itu, kita mahu supaya syarikat e-hailing bertanggungjawab menyediakan garis panduan yang sentiasa diingatkan kepada pemandu bagi mengelak perkara ini berulang,” katanya dipetik Harian Metro.
Bagi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia Mohd Nor Izzat Mohd Johari, perbuatan pemandu terbabit menghina agama serta umat Islam kepada pelancong asing adalah perkara memalukan negara.
Katanya, sebagai negara yang berperlembagaan, tidak ada mana-mana individu bukan Islam dilarang untuk minum arak mahupun berjudi di negara ini.
“Ini adalah penghinaan yang amat serius dan kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap individu terbabit.
“Termasuklah tindakan oleh pihak polis dengan menahan individu berkenaan serta perkhidmatannya dalam syarikat e-hailing diberhentikan serta merta,” katanya.
Sementara itu, semakan dilakukan pihak polis mendapati belum ada laporan diterima berhubung kejadian terbabit setakat ini. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252