BERITA UTAMA
Putra desak kerajaan Selangor beri tempat tinggal, pampasan kepada penduduk Kg Sri Makmur

Putra desak kerajaan Selangor beri tempat tinggal, pampasan kepada penduduk Kg Sri Makmur

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan Selangor memberi perhatian dengan mempermudahkan segala urusan berkaitan tempat tinggal dan pampasan kepada penduduk Kampung Sri Makmur, Gombak yang kediaman mereka dirobohkan.

Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, semua penduduk terlibat perlu mendapat tempat tinggal dan pampasan sewajarnya dari kerajaan negeri, bukan membiarkannya tinggal serta bermalam dalam khemah di tapak perobohan kediaman mereka.

“Ini orang Melayu. Mereka diperbuatkan seperti gelandangan yang mengemis di bumi sendiri, sedangkan kehidupan pendatang asing tanpa izin lebih baik dari kaum peribumi.

“Kerajaan negeri mempersoalkan ada sembilan keluarga tidak dapat mengemukakan bukti mereka penduduk asal Kampung Sri Makmur, sedangkan orang Melayu adalah penduduk asal Malaysia tidak kira di mana mereka tinggal.

“Nak berkira sangat syarat-syarat atau peraturan. Mahu tolong seribu daya, tak mahu tolong seribu dalih,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh senang saja dapat tender projek runding terus dengan Kerajaan Selangor, tetapi kalau melibatkan penduduk Melayu di Kampung Sri Makmur, pelbagai syarat dikenakan.

Justeru, beliau menuntut pihak berkuasa terutama polis menyiasat dengan telus dan adil mengenai bagaimana terdapat elemen samseng yang terlibat ketika perobohan penempatan itu berlaku.

“Insiden ini menyebabkan banyak naskah al-Quran dan buku agama dimusnahkan dengan cara sangat biadab, tidak ubah seperti perlakuan zionis Israel ke atas hak dan maruah warga Palestin.

“Putra juga menggesa umat Melayu Islam bersatu dan bangkit menuntut serta mempertahankan kepentingan bangsa di bumi sendiri yang semakin terhakis dan dizalimi.

“Keadilan dan keprihatinan terhadap masyarakat Kampung Sri Makmur adalah contoh bagaimana penduduk asal dilayan. Apa erti kemerdekaan untuk kaum peribumi? Merdekakah peribumi sebenarnya?,” soal beliau. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *