BERITA UTAMA

U-Bes mahu popularkan sukan memanah berkuda di luar Pantai Timur

TUMPAT – Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) Kelantan berhasrat menjadikan sukan memanah berkuda dikenali di seluruh negara dan disenaraikan sebagai acara pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada masa akan datang.

Penolong Pengarahnya, Marwan Husin berkata, sukan memanah berkuda ketika ini belum popular di negeri lain kecuali di Pantai Timur sahaja.

Beliau berkata, sukan itu perlu diperkenalkan secara serius di peringkat Majlis Sukan Negeri dan dapat mengangkat objektif memartabatkan sukan sunnah.

“Sukan memanah berkuda terkenal dalam masyarakat di Kelantan dan Terengganu, yang mana kami banyak memberi galakan kepada golongan muda untuk menyertainya dan perkenalkan kepada masyarakat umum.

“Oleh itu, untuk memperkenalkan sukan memanah berkuda, U-Bes menganjurkan Festival Sukan Sunnah Antarabangsa (Semutar) untuk menyebarluaskannya menjadi salah satu tarikan baharu kepada umum,” katanya kepada Bernama pada festival berkenaan, di Pantai Sri Tujoh, di sini, semalam.

Marwan berkata, secara tidak langsung sukan memanah berkuda ini dapat mengembalikan vibe zaman kegemilangan kepahlawanan Melayu.

“Kalau dilihat pada hari ini, kebanyakan peserta tempatan mengenakan pakaian tradisional baju Melayu lengkap bersampin dan pakaian ala pendekar dalam acara sukan memanah berkuda,” katanya.

Beliau berkata, seperti sedia maklum, masyarakat Melayu zaman dahulu kala banyak menjadikan kuda sebagai haiwan tunggangan harian termasuk aktiviti pemburuan.

Menurutnya, sukan memanah berkuda bukan acara yang janggal dalam masyarakat Melayu kerana kuda adalah haiwan tunggangan ribuan tahun dan sejak zaman nabi lagi.

Menurutnya, kuda yang digunakan dalam sukan memanah itu dikumpulkan di seluruh Kelantan dan telah dilatih selama sebulan sebelum menyertai festival berkenaan.

“Melatih kuda adalah seperti cara untuk masuk ke dalam track bagi menentukan jarak ke tempat sasaran pemanah, had kelajuan yang diperlukan dalam track dan sebagainya,” katanya.

Marwan berkata, untuk pemanah pula mereka ini tidak perlu dilatih kerana mereka sememangnya pemanah di lapangan dan bezanya cuma memanah di atas kuda.

“Peserta boleh memilih sama ada untuk menggunakan kuda peliharaan sendiri atau kuda yang telah disediakan U-Bes pada festival berkenaan.

“Sebanyak 17 kuda dari pelbagai baka kacukan digunakan dalam acara sukan memanah berkuda,” katanya. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *