Adakah di Malaysia model Thalapathy Vijay?

Dari Editorial ND

KALAU ini filem, kita mungkin gelak dulu. Lepas tu komplen, “over sangat skrip”. Hero masuk last minute, terus selamatkan dunia, jatuhkan penjahat yang dah berkuasa berdekad-dekad. Klise. Tak logik. Terlalu dramatik.

Tapi malangnya untuk parti-parti lama, kali ini skrip itu bukan di pawagam. Ia berlaku betul-betul dalam alam kenyataan di Tamil Nadu, India. Dan penonton bukan lagi beli tiket, tapi buang undi.

Seorang pelakon yang selama ini cuma “lawan rasuah” dalam skrip tiba-tiba turun gelanggang sebenar. Bukan sekadar cuba nasib. Tapi, terus sapu bersih. Nama dia Thalapathy Vijay. Hero layar yang tiba-tiba jadi mimpi ngeri ahli politik.

Parti dia, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), baharu setahun jagung. Belum sempat akar cecah tanah betul-betul pun. Tapi hasil dia? Tu dia, 108 kerusi disapunya. Ini bukan lagi menang tipis. Ini sudah masuk kategori “terima kasih, sila kosongkan pejabat anda” kepada parti lama yang sudah berakar umbi.

Parti lama macam DMK dan AIADMK yang dah berakar hampir enam dekad (40 tahunlah) tiba-tiba nampak macam barang antik. Masih ada nilai sejarah, tapi orang dah tak guna.

Kenapa jadi macam ni?

Sebab paling mudah dan paling pedih: rakyat dah lama makan janji. Janji yang recycle, skrip yang sama, pelakon politik yang sama. Bila muncul orang yang nampak “lain sikit”, walaupun datang dari dunia hiburan, terus orang kata, “ok, kita try yang ni pula.”

Dan, Vijay ni bukan muncul kosong. Dia dah lama “berkempen” tanpa sedar dalam filem-filem seperti Sarkar, Mersal, Kaththi. Tahun demi tahun, dia jadi orang biasa yang berani lawan sistem. Lawan rasuah. Lawan elit. Lawan kuasa.

Lama-lama, mesej itu melekat.

Sampai satu tahap, rakyat tak pasti, ini sekadar lakonan atau latihan mental untuk realiti?

Bila politik terlalu penuh skrip, pelakon pula nampak lebih ikhlas.

Yang lagi pedih untuk parti lama, jentera dia ni bukan jenis bermusim. Bukan keluar masa pilihan raya, lepas tu hilang macam status WhatsApp 24 jam. Kelab peminat dia dah lama buat kerja di bawah: bantu orang susah, hulur makanan, turun padang.

Bila tiba hari mengundi, mereka tak perlu perkenalkan diri lagi. Rakyat dah kenal dulu.

Bandingkan dengan sesetengah jentera politik. Mesyuarat penuh semangat, lepas tu semua hilang sampai pilihan raya seterusnya. Rakyat bukan tak nampak, cuma dah penat nak tegur.

Dan, bila Vijay sanggup tinggalkan gaji puluh juta, ini bukan adegan slow motion dengan muzik sedih. Ini mesej yang sangat jelas: dia tak perlukan politik untuk hidup senang.

Ahli politik kerjaya? Itu soalan lain.

Rakyat boleh beza siapa masuk politik sebab nak berkhidmat, dan siapa masuk sebab itu satu-satunya “kerjaya” yang tinggal.

Hakikat paling pahit sebenarnya mudah: rakyat dah bosan.

Enam puluh tahun pusing nama sama. Tukar kerusi, tukar slogan, tapi masalah tetap sama. Parti lama ingat sokongan itu macam harta pusaka, turun temurun.

Mereka lupa satu benda: pengundi baharu tak ada nostalgia. Tak ada sentimental value. Tak ada memori “zaman dulu parti ini berjasa”.

Pengundi muda cuma tanya satu soalan ringkas:
“Apa yang kau buat sekarang?”

Kalau jawapan masih cerita lama, maka undi pun jadi sejarah.

Fenomena ini bukan terpencil. Di Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, seorang pelawak buat benda yang sama. Dari watak TV jadi presiden betul.

Bezanya, dia bukan sekadar menang undi. Bila negara diuji perang, dia tak lari. Itu yang bezakan populariti dengan kepimpinan sebenar.

Jadi, mesejnya makin jelas, walaupun pahit untuk parti lama telan:

Bila politik terlalu lama jadi teater kosong, penonton akan cari pelakon untuk jadi real.

Dan, jangan salah faham. Ini bukan sebab rakyat terlalu taksub dengan selebriti. Ini sebab mereka terlalu kecewa dengan pilihan yang ada.

Bila sistem gagal beri harapan, orang akan cari alternatif, walaupun dari dunia yang dulu mereka tak pernah anggap serius.

Soalan terakhir ini yang patut buat ramai di kerusi empuk mula tak senang duduk:

Kalau “Vijay versi Malaysia” muncul esok – yang ada aura, ada keberanian dan nampak lebih jujur daripada politikus sedia ada – berapa ramai yang masih setia?

…dan berapa ramai yang diam-diam dah siap nak tukar channel? – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *