BERITA UTAMA

25 Ahli Parlimen, 58 ADUN Bersatu ikrar terus setia kepada parti – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Semua wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berikrar untuk terus setia kepada parti demi membela bangsa, agama dan negara.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 25 Ahli Parlimen dan 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti.

Dalam kenyataannya kepada media semalam, bekas Perdana Menteri itu berkata, arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dibuat selaras dengan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) baru-baru ini.

Menurutnya, arahan itu juga menepati kehendak Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan mengenai anti lompat parti.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Jawatankuasa Khas Bersatu yang bertungkus-lumus menyempurnakan arahan khusus MPT ini secara tertib dan teliti, menepati segenap lunas undang-undang.

“Adalah diperingatkan, mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu, ketidakpatuhan wakil rakyat Bersatu terhadap apa-apa arahan dikeluarkan MPT adalah disifatkan terhenti keahliannya dari parti secara serta-merta,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu dilaporkan meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *