Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

SASARAN kerajaan untuk meningkatkan gaji penengah bulanan kepada RM3,500 menjelang tahun 2030 bukan sekadar angka ekonomi. Ia membawa mesej yang lebih besar, iaitu negara perlu beralih kepada model pekerjaan lebih menghargai kemahiran, produktiviti dan sumbangan sebenar pekerja.
Dalam dunia pekerjaan hari ini, kemahiran bukan lagi nilai tambahan, sebaliknya sudah menjadi keperluan utama.
Perkembangan teknologi, automasi, pendigitalan dan pertumbuhan sektor bernilai tinggi menuntut tenaga kerja yang bukan sahaja boleh bekerja, tetapi mampu berfikir, menyelesaikan masalah, menyesuaikan diri dan memberi nilai kepada industri.
Di sinilah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting. TVET bukan sekadar laluan latihan teknikal, tetapi satu sistem pembangunan bakat yang berasaskan keperluan sebenar industri.
Melalui Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (National Occupational Skills Standard, NOSS), kompetensi seseorang pekerja boleh diukur dengan lebih tersusun berdasarkan kemahiran teknikal, pengetahuan, sikap kerja, tahap tanggungjawab dan keupayaan melaksanakan tugas mengikut standard pekerjaan.
Maksudnya, TVET mempunyai asas yang jelas untuk membuktikan bahawa seseorang itu benar-benar kompeten. Bukan sekadar ada sijil, tetapi mempunyai kemahiran yang boleh diterjemahkan kepada prestasi kerja sebenar.
Namun, pengiktirafan kemahiran tidak boleh berhenti setakat pensijilan. Cabaran lebih besar ialah bagaimana kemahiran itu diterjemahkan kepada gaji yang lebih adil dan setimpal.
Dalam bahasa mudah, gaji tenaga mahir perlu dilihat melalui pendekatan x + alpha. X ialah gaji asas yang munasabah, manakala alpha ialah nilai tambah berdasarkan tahap kompetensi, pengalaman, produktiviti, pensijilan, kepakaran dan keupayaan sebenar pekerja.
Semakin tinggi kemahiran, semakin besar nilai tambah yang wajar diterima. Seorang pekerja yang memiliki pengalaman luas, pensijilan kemahiran dan keupayaan menyelesaikan masalah industri tidak wajar dinilai sama seperti pekerja tanpa tahap kompetensi yang setara.
Oleh itu, pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) perlu dilihat berdasarkan tahap kemahiran yang telah dicapai.
Struktur upah negara perlu bergerak seiring dengan pengiktirafan kompetensi. Sekiranya negara serius dalam perkara ini, maka kemahiran mesti menjadi salah satu asas utama dalam penentuan nilai pekerjaan.
Inilah masa untuk martabat TVET terus diperkukuh. TVET bukan laluan kedua. TVET ialah laluan strategik untuk membina tenaga mahir yang mampu menyokong industri, meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing negara dan membuka ruang mobiliti kerjaya yang lebih baik.
Pekerja TVET bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan, tetapi menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada keperluan ekonomi masa hadapan.
Sehubungan itu, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) perlu terus memperkukuh laluan pengiktirafan kemahiran pada tahap tinggi dalam kerangka (R)EVOLUSI TVET.
Pengiktirafan seperti Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran penting untuk memberi nilai kepada tenaga mahir berpengalaman yang telah lama menyumbang kepada industri. Laluan ini perlu dibangunkan berasaskan kompetensi sebenar, tanpa menyamakan laluan kemahiran dengan laluan akademik.
Pendekatan ini penting kerana negara memerlukan lebih ramai tenaga kerja yang bukan sahaja terlatih, tetapi diiktiraf, dihargai dan dibayar secara setimpal.
Sasaran 35 peratus tenaga mahir menjelang 2030 tidak boleh dilihat sebagai sasaran kuantiti semata-mata. Ia perlu disokong dengan kualiti kemahiran, struktur upah yang lebih adil dan persepsi masyarakat yang lebih positif terhadap TVET.
Akhirnya, masa depan TVET negara bukan hanya tentang melahirkan lebih ramai pekerja. Ia tentang membina tenaga mahir yang bermaruah, berpendapatan baik dan mempunyai masa depan kerjaya yang jelas. Jika kemahiran menjadi tulang belakang ekonomi, maka gaji berpadanan perlu menjadi asas kepada maruah pekerja Malaysia.
Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali adalah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L