Teh Ghocokk: Langkah Kecil Pelajar USIM ke Dunia Keusahawanan

Oleh NurFarhana Zulkeply

NILAI – Kos sara hidup yang semakin meningkat mendorong ramai pelajar universiti mencari alternatif untuk menampung perbelanjaan harian.

Bagi dua pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), tekanan itu menjadi titik permulaan kepada sebuah perniagaan kecil yang kini dikenali sebagai Teh Ghocokk.

Pengasasnya, Mohammad Hilmi Yaakub yang juga Naib Presiden Bankerz, USIM berkata, idea perniagaan itu tercetus apabila beliau melihat peluang menjual minuman dalam kawasan universiti bersama rakannya, Muhammad Amir Hasbullah selaku Pengasas Bersama Teh Ghocokk.

Menurut Mohammad Hilmi, walaupun perniagaan itu bermula secara kecil-kecilan pada April 2025, ia sedikit sebanyak membantu mereka memperoleh pendapatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada keluarga.

“Pada mulanya kami nampak peluang menjual di universiti boleh menjana keuntungan. Walaupun tidak besar, ia cukup untuk membantu kami meneruskan kehidupan sebagai pelajar dengan kewangan yang lebih stabil,” katanya.

Nama “Ghocokk” pula diambil daripada dialek Kelantan yang membawa maksud “goncang”, sesuai dengan konsep minuman yang dijual.

Mohammad Hilmi berkata, kehidupan sebagai mahasiswa hari ini bukan sesuatu yang mudah apabila kenaikan harga makanan, keperluan pembelajaran dan kos harian memberi tekanan kepada pelajar.

Namun, beliau dan Muhammad Amir memilih untuk melihat cabaran tersebut dari sudut berbeza.

“Kami tidak melihat tekanan sebagai beban, tetapi sebagai trigger untuk mencipta sumber pendapatan sendiri,” katanya.

Dalam masa yang sama, kedua-duanya masih perlu mengekalkan fokus terhadap akademik sambil menguruskan perniagaan.

Menurut Muhammad Amir yang juga Pegawai Muda Bankerz, USIM, disiplin menjadi kunci utama untuk memastikan pelajaran dan bisnes dapat berjalan seiring.

“Kami berpegang kepada prinsip priority dan discipline. Akademik tetap menjadi keutamaan dan bisnes pula kami jadikan sebagai komitmen yang konsisten,” katanya.

Beliau berkata, proses penyediaan minuman hanya dilakukan beberapa kali seminggu pada waktu malam supaya tidak mengganggu jadual pembelajaran.

Walaupun begitu, mereka mengakui cabaran tetap wujud terutama apabila jualan perlahan atau tiada pelanggan.

“Ada hari langsung tiada pelanggan. Memang rasa malu bila kena promote dalam group atau mesej pelanggan satu-satu, tapi itu proses yang perlu dilalui,” katanya.

Selain berdepan rasa penat, mereka turut mengakui cabaran terbesar ialah melawan rasa malas dan membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan pelanggan.

Pengalaman mengurus Teh Ghocokk secara tidak langsung membantu mereka mempelajari pelbagai kemahiran baharu seperti komunikasi, pemasaran dan pengurusan pelanggan.

Bagi mereka, bisnes kecil itu bukan sekadar mencari wang tambahan, tetapi ruang untuk belajar berdikari dan memahami realiti sebenar dunia perniagaan.

“Kalau penat, rehat. Tapi, jangan berhenti,” kata Mohammad Hilmi.

Walaupun masih bergelar pelajar, mereka berharap Teh Ghocokk dapat dikembangkan secara lebih serius pada masa akan datang, selain memerlukan lebih banyak sokongan dan pendedahan diberikan kepada pelajar yang hendak membina perniagaan sendiri.

“Siang mengejar ilmu, malam mengejar rezeki. Penat tak kenal waktu, impian pasti jadi realiti,” katanya.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *