Tajuk Utama

    Pendaki Zulkifli Yusuf maut dalam gua salji Gunung Denali, Alaska

    KUALA LUMPUR – Kelab Jelajah Alpine Malaysia mengesahkan, seorang peserta Ekspedisi Denali anjurannya, meninggal dunia selepas terkandas ketika mendaki Gunung Denali, Alaska – puncak tertinggi di benua Amerika Utara pada Rabu lalu.

    Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi pada 29 Mei ketika mangsa, Zulkifli Yusuf dan rakan pendaki, Zainudin Lot, berlindung dalam gua salji di kawasan dikenali sebagai ‘Football field’ pada ketinggian 19,700 kaki dari aras laut.

    Gunung Denali, Alaska, mempunyai ketinggian 6,194 meter (20,310 kaki), lapor Berita Harian.

    Dalam kenyataannya, kelab itu berkata, kumpulan pendaki itu terkandas ketika dalam misi pendakian sejak Selasa lalu.

    “Susulan kejadian itu, pihak penyelamat membuat beberapa percubaan untuk mengeluarkan mereka dengan helikopter, namun tidak berjaya kerana faktor cuaca yang berkabus dan angin kencang.

    “Zulkifli disahkan meninggal dunia pada 6 pagi Rabu, ketika mereka berlindung dalam gua salji di kawasan dikenali sebagai “Football field” pada ketinggian 19,700 kaki dari aras laut.

    “Punca kematiannya disyaki akibat High Altitud Cerebral Edema dan Hyporthermia dan akan disahkan melalui bedah siasat kelak,” katanya.

    Kelab itu berkata, hanya pada jam 6 pagi Jumaat 31 Mei (waktu tempatan) pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan Zainudin, yang kini sedang dirawat di hospital dekat Talkeetna, Alaska.

    “Keadaan beliau stabil, tetapi mengalami frostbite (radang dingin) pada kedua-dua belah tangan.

    “Ketika ini mayat Zulkifli masih berada di lokasi kejadian dan proses mengeluarkannya mungkin mengambil masa kerana perlu menunggu cuaca baik,” katanya.

    Kelab itu berkata, seorang lagi pendaki, Illaham Ishak, diselamatkan beberapa hari lalu dan kini dalam rawatan di hospital dekat Anchorage, Alaska akibat frostbite pada tangan dan kaki.

    Katanya, konsular Malaysia di Los Angeles sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan membantu mangsa untuk proses seterusnya.

    “Pihak keluarga juga telah dimaklumkan dan kami ucapkan takziah dan mohon rakyat Malaysia mendoakan mangsa,” katanya. – ND

     

    Telegram: https://t.me/nasionaldaily

    TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

    Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *