SHAH ALAM – Pemuda Amanah menggesa Peguam Negara memulakan pendakwaan ke atas kes seorang pengawal keselamaran golongan kenamaan memukul pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini.
Timbalan Ketuanya, Danial Al-Rashid berkata, pihaknya meneliti perkembangan kes itu yang sedang tular di medium media sosial sejak hari kejadian sehingga kini.
Kata beliau, perkembangan kes itu amat membimbangkan berdasarkan laporan media bagaimana mangsa menerima layanan menyulitkannya seperti telefon bimbit yang dirampas untuk siasatan.
“Lebih mengecewakan apabila mangsa kemudiannya hadir semula ke balai polis untuk menarik semula laporan asal selepas didakwa bersetuju menyelesaikan insiden itu dengan pelaku membayar pampasan RM800.
“Seluruh kejadian ini telah membawa kepada polemik negatif sehingga menyebabkan keruntuhan kepercayaan terhadap sistem keadilan jenayah di Malaysia.
“Kronologi kes ini menunjukkan seolah terdapat usaha terancang untuk menafikan keadilan kepada pengadu jenayah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Danial, persepsi seperti itu tidak boleh dibiarkan semakin meruncing kerana keberkesanan sistem keadilan jenayah juga bergantung kepada tahap kepercayaan masyarakat.
Sebagai langkah seterusnya, kata beliau, Pemuda Amanah mahu Peguam Negara segera memulakan pendakwaan ke atas pengawal keselamat terbabit memandangkan laporan polis telah dibuat.
“Ini adalah budi bicara Peguam Negara yang seharusnya dilaksanakan demi keadilan. Sekiranya perkara ini tidak berlaku, mesej yang akan kekal dalam ingatan rakyat adalah wang boleh menyelesaikan segala kesalahan jenayah.
“Bersamalah kita bermuhasabah agar panduan undang-undang, “justice must not only be done, but must also be seen to be done” dimaknai bersama,” katanya. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252