BERITA UTAMA

Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$112.79 bilion pada akhir April 2024 – BNM

KUALA LUMPUR – Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$112.79 bilion (US$1=RM4.70) pada akhir April 2024, manakala aset mata wang asing lain berjumlah US$403.7 juta, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata, butiran terperinci rizab antarabangsa memberi maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab dan aset mata wang asing lain yang mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ia turut memberi jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan April 2024 tetap boleh guna,” katanya.

Bank pusat itu berkata bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing yang antara lainnya termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara yang berjumlah US$15.35 bilion.

“Kedudukan jualan hadapan bersih berjumlah US$27.69 bilion pada akhir April 2024, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang,” katanya.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, BNM berkata data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.39 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

BNM berkata satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing adalah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negara dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun berjumlah US$400.8 juta.

“Aliran ini tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *