KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) berjanji mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab dalam kes murid Tahun Lima yang diserang strok haba selepas dipaksa seorang guru berdiri di bawah sinaran matahari, berdasarkan laporan siasatan pihak berkuasa.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya tidak berkompromi sebarang salah laku yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan warga sekolah.
“Perkara ini dalam pengawasan rapi kami. Kes ini kini dalam siasatan pihak berkuasa. Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan laporan siasatan pihak berkuasa.
“KPM tidak berkompromi dengan sebarang salah laku yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan pelajar, guru dan seluruh warga sekolah
“Justeru, pihak sekolah dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi garis panduan pengurusan pelajar semasa yang berkuat kuasa,” katanya dipetik Berita Harian.
Rabu lalu, ibu kanak-kanak, AD Mogahana Selvi, 35, dilaporkan berkata, Hospital Ampang sudah mengeluarkan surat rujukan untuk anaknya dinilai sebagai orang kurang upaya (OKU) akibat masalah kesihatan dialami.
Difahamkan kanak-kanak berusia 11 tahun itu kini mempunyai masalah kesihatan berkaitan saraf dipercayai akibat strok haba kesan berjemur selama tiga jam di tengah padang di bawah terik cahaya matahari.
Moganaha juga mengatakan anaknya itu tidak lagi berkelakuan seperti biasa dan banyak menyorok serta bercakap seorang diri.
Susulan masalah dialaminya itu, keluarga berkenaan akan memfailkan saman sivil.
Pada Isnin lalu, murid itu dilaporkan dibawa ke hospital selepas dipaksa berdiri di bawah sinar matahari dari 10 pagi hingga 12.50 tengah hari.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya sudah menyelesaikan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252