BERITA UTAMA

Tok Him sedia bantu Tun M dan PM Anwar

KUALA LUMPUR – Kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinikal bersedia untuk menderma berbilion ringgit yang dituduh mencuri, menarik perhatian Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu dalam responnya memberitahu kesediaannya secara sukarela untuk membantu memunggah wang berjumlah berbilion ringgit yang dikatakan kepunyaan Dr. Mahathir sebagaimana dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga secara sindiran berkata, kesediaannya itu kerana kedua mereka, iaitu Dr. Mahathir yang sudah berusia 98 tahun dan Anwar, 77 tahun tidak lagi mempunyai kekuatan untuk membawa balik wang itu.

“Sudah tentu mereka memerlukan pertolongan untuk membantu membawa balik wang berbilion itu.

“Setidaknya, saya boleh memerhati dan mengawal agar duit tersebut tidak hilang kerana yang mengawalnya mestilah orang yang bersih dan dilihat bersih rekodnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, beliau bersedia menderma berbilion ringgit wang yang dituduh dicuri, tetapi meminta mendapatkan bantuan Perdana Menteri memberitahu (di mana) lokasi wang itu.

Katanya, memandangkan dia tidak pernah melihat duit berkenaan dan tidak tahu lokasinya, dia berharap Anwar dapat memberi sedikit penjelasan.

“Kata Anwar orang yang mencuri duit berbilion hendaklah bawa balik duit ini dan bantu orang Melayu yang miskin. Saya sanggup bawa balik 100 peratus duit yang dikatakan ada pada saya dan derma semuanya kepada orang miskin,” kata mantan perdana menteri dua kali itu.

Terdahulu, Anwar mendakwa Dr. Mahathir mencuri berbilion duit kerajaan ketika menjadi Perdana Menteri, menyebabkan bekas Pengerusi Parti Pejuang itu memfailkan saman fitnah terhadapnya.

Menurut Dr. Ibrahim, untuk membawa balik wang berkenaan, kerajaan tidak boleh mengharapkan kepada agensi penguatkuasa kerana sudah terbukti tidak boleh dipercayai sebagaimana yang berlaku sebelum ini.

Beliau turut mencadangkan, pemilihan pengiring wang berjumlah bilion ringgit itu boleh dibuat secara tender terbuka, bukan lantikan terus.

“Ini untuk memastikan tatakelola Madani dilaksanakan dan saya akan masuk tender terbuka kerana saya yakin akan terpilih berdasarkan rekod.

“Malah, saya juga menawarkan khidmat untuk membantu mengedarkan wang berbilion itu kepada orang Melayu. Saya bangga kerana inilah kesukaan saya bagi membantu orang Melayu.

“Semoga pandangan saya ini mendapat perhatian Dr. Mahathir dan PM Anwar,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *