BERITA UTAMA

A330neo Malaysia Airlines pesawat pertama tepati piawaian terkini pelepasan CO2

TOULOUSE – Sebanyak 20 pesawat A330neo yang dibeli Malaysia Airlines merupakan pesawat pertama mendapat perakuan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) bagi piawaian baharu pelepasan karbon dioksida (CO2) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sekali gus memaparkan pematuhannya terhadap peraturan alam sekitar.

Malaysia Aviation Group (MAG) yang juga syarikat induk Malaysia Airlines, memilih 20 pesawat A330neo sebagai inisiatif pembaharuan armada atau barisan kumpulan pesawat badan lebar pada 2022 dengan penghantaran pertama pada suku ketiga 2024 sehingga 2028.

Pesawat A330neo itu antara lainnya mempunyai keupayaan penyampaian kecekapan operasi yang hebat, kata Pengarah Pembangunan Pasaran Pesawat Badan Lebar Airbus Rodrigo Lezama.

Model itu dikuasakan oleh enjin jenis Rolls-Royce Trent 7000 generasi terkini serta mempunyai sayap baharu selain pelbagai inovasi aerodinamik yang menyumbang kepada pengurangan 25 peratus penggunaan bahan api dan pelepasan CO2 berbanding pesawat pesaing generasi sebelumnya.

Pesawat A330-900 berupaya terbang sejauh 7,200 batu nautika atau 13,334 kilometer tanpa henti dengan penyediaan keselesaan terbaik daripada kabin Airspace yang terkemuka.

Bercakap pada sesi taklimat media di sini, Lezama berkata, kabin yang turut meraih anugerah itu dilengkapi ruang penumpang lebih luas, sistem pencahayaan baharu, sistem hiburan dalam penerbangan terkini serta aspek ketersambungan sepenuhnya di seluruh kabin.

Sepertimana semua pesawat Airbus, A330neo mampu beroperasi dengan penggunaan sehingga 50 peratus Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) yang seiring dengan sasaran Airbus agar semua pesawatnya beroperasi dengan SAF sepenuhnya menjelang 2030.

Pada penghujung April 2024, ‘keluarga’ atau kelompok A330 telah menerima hampir 1,800 pesanan rasmi daripada 130 pelanggan di seluruh dunia yang menjadikannya pesawat badan lebar paling popular di dunia.

Di peringkat Asia Pasifik misalnya, sebanyak 25 pesawat A330neo beroperasi di bawah kendalian syarikat penerbangan AirCalin, Cebu Pacific, Garuda Indonesia, Lion Air dan Starlux Taiwan.

Malah, Lezama berkata, sejumlah 54 pesanan diterima daripada rantau itu.

Dalam pada itu, beliau mengulangi unjuran pasaran global Airbus merangkumi permintaan bagi 40,850 penghantaran pesawat penumpang dan pengangkut baharu dalam tempoh 20 tahun akan datang dengan 32,630 merupakan jenis satu lorong dan 8,220 adalah pesawat badan lebar.

Permintaan pula dijangka mencecah 2,510 pesawat dalam tempoh 20 tahun akan datang, termasuk 920 pesawat yang baharu dibina.

Bagi Asia Pasifik, bilangannya mencecah 18,920 dengan 80 peratus daripada pasaran dijangka membabitkan barisan kumpulan pesawat satu lorong, manakala bakinya merupakan jenis badan lebar. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *