NEW YORK – Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump disabitkan kesalahan atas semua 34 dakwaan memalsukan rekod perniagaan.
Barisan 12 juri mengambil masa dua hari untuk berbincang sebelum mencapai keputusan sebulat suara ke atas Trump.
Ini merupakan kali pertama bekas Presiden disabitkan dengan kesalahan jenayah.
Hukuman ke atas Trump akan ditetapkan 11 Julai ini.
Beliau berdepan hukuman penjara, namun pakar undang-undang menjangkakan Trump hanya akan dikenakan denda.
Trump dalam pada itu menyifatkan keputusan sebagai sesuatu yang memalukan dan turut mengecam hakim perbicaraan.
Keputusan ini diumumkan ketika Trump masih dalam kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat.
Trump sedang berusaha untuk kembali ke White House.
Sepanjang perbicaraan, mahkamah mendengar keterangan daripada 22 saksi, termasuk pelakon porno, Stormy Daniels.
Hubungan dengan wanita berkenaan menjadi punca kes pendakwaan terhadap Trump.
Trump didakwa memalsukan rekod perniagaan untuk menyembunyikan bayaran wang dibuat kepada Daniels, untuk menutup mulut pelakon itu sebelum Pilihan Raya Presiden pada 2016.
Trump, 77 tahun, telah menafikan sebarang salah laku dan dijangka mengemukakan rayuan.
Beliau berdepan hukuman maksimum empat tahun penjara, walaupun orang lain yang disabitkan kesalahan itu sering menerima hukuman lebih singkat iaitu denda atau probesen.
Hukuman penjara tidak akan menghalang Trump daripada berkempen atau memegang jawatan jika beliau menang.
Tinjauan pendapat menunjukkan Trump dan Presiden Biden, 81 tahun, terikat dalam persaingan yang sengit dan tinjauan Reuters/Ipsos mendapati keputusan bersalah boleh menjejaskan sokongan terhadap Trump daripada pengundi bebas dan penyokong Republican. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252