BERITA UTAMA

Ribuan penduduk Israel protes tuntut pemulangan mayat tebusan

TEL AVIV – Ribuan penduduk Israel berhimpun di Tel Aviv semalam, untuk menuntut tindakan segera kerajaan membawa pulang baki tebusan yang ditahan di Gaza, selepas beberapa mayat mereka yang diculik pada 7 Oktober lalu ditemui.

Penunjuk perasaan juga bertakafur selama seminit di Dataran Tebusan Tel Aviv sebagai penghormatan kepada mayat tebusan diculik Hamas yang ditemui oleh tentera Israel bulan ini, lapor seorang wartawan AFP.

Sementara itu, satu lagi protes menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan desakan diadakan pilihan raya awal turut diadakan di kawasan berdekatan.

Tentera Israel berkata, Jumaat lalu mereka mengambil mayat tiga tebusan dalam operasi di Jabalia, utara Semenanjung Gaza.

Mayat tebusan itu ialah Chanan Yablonka serta Michel Nisenbaum yang memegang kewarganegaraan Brazil-Israel, selain Orion Hernandez Radoux, warga Perancis-Mexico dan keluarga mereka sudah dimaklumkan selepas pengecaman forensik.

Empat lagi mayat tebusan ialah Ron Benjamin, Yitzhak Gelerenter, Shani Louk dan Amit Buskila, yang ditemui minggu lalu.

Kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengalami tekanan domestik dan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung nasib tebusan, dengan tunjuk perasaan semakin kerap diadakan terutama selepas penemuan mayat tebusan.

Pada masa sama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ketika berucap di akademi tentera AS, West Point berkata, pentadbirannya terbabit dalam ‘diplomasi segera untuk mendapatkan gencatan senjata segera dan membawa pulang tebusan’.

Dalam perkembangan lain, Israel mendakwa usaha diplomatik disambung semula untuk mendapatkan gencatan senjata di Gaza sejak gencatan senjata selama seminggu dan pembebasan tebusan pada November.

Pegawai Israel, yang enggan dikenali, memberitahu AFP bahawa ‘ada niat untuk memperbaharui rundingan minggu ini, dan ada perjanjian’, namun dinafikan oleh Hamas melalui satu kenyataan.

Sementara itu, Al-Qahera News, yang mempunyai kaitan dengan perisikan Mesir, melaporkan pengantara Mesir akan meneruskan ‘usahanya untuk mengaktifkan semula rundingan gencatan senjata’. – AFP

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *