GOMBAK – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Greenwood ke Sri Gombak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima makluman berkaitan kes kemalangan itu pada jam 4.15 petang semalam.
“Siasatan mendapati kemalangan itu berlaku pada jam 3.45 petang melibatkan seorang lelaki berusia 64 tahun memandu sebuah lori dari Sungai Pusu ke Kepong Baru.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori itu terdengar bunyi dentuman yang kuat di hadapan kenderaan itu,” katanya.
Noor Ariffin berkata, pemandu berkenaan mendapati sebuah motosikal jenis Yamaha Ego LC yang ditunggang seorang wanita warga tempatan berusia 23 tahun berada di bawah tayar depan sebelah kiri lori.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Selayang.
“Mayat mangsa dihantar ke hospital sama untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Suharman Che Musa di talian 019-6751727 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252