Oleh: Manzaidi Mohd Amin
ADA buku yang kita baca untuk mendapatkan pengetahuan. Ada buku yang kita buka untuk mencari hiburan. Namun, ada juga buku yang menuntut pembacanya berhenti sejenak, berfikir, merenung dan mungkin bertanya semula mengenai perjalanan hidup, masyarakat serta keadaan negara yang sedang didiami.
Buku Dinsman – Wacana Budaya termasuk dalam kelompok yang ketiga. Ia bukan sekadar himpunan tulisan seorang seniman dan budayawan yang merakamkan pengalaman serta pemerhatiannya terhadap dunia seni. Sebaliknya, buku ini membawa pembaca menyusuri lorong pemikiran seorang pengarang yang tidak pernah memisahkan budaya daripada kehidupan masyarakat, politik daripada nilai kemanusiaan, dan Islam daripada perjuangan menegakkan kebenaran.
Satu perkara menarik perhatian ketika meneliti buku ini ialah penggunaan perkataan ‘Wacana’ sebagai pembahagian kandungannya. Lazimnya, sesebuah buku menggunakan istilah bab, bahagian atau chapter untuk memisahkan satu perbincangan daripada perbincangan yang lain. Namun, pemilik nama sebenar, Datuk Che Shamsudin Othman ini memilih istilah Wacana, yang memberikan nuansa berbeza kepada keseluruhan persembahan buku berkenaan.
Buku setebal 282 halaman itu menghimpunkan sebanyak 67 Wacana. Setiap satunya membawa persoalan, pemikiran, pengalaman dan pandangan tersendiri, yang saling berkait dalam membentuk gambaran lebih luas mengenai dunia budaya dan politik yang diperhatikan Dinsman.
Mengapa beliau memilih Wacana? Dalam pengertian bahasa, wacana merujuk kepada perbincangan, pertukaran fikiran, penghuraian atau penyampaian idea mengenai sesuatu perkara secara tersusun dan mendalam. Ia bukan sekadar percakapan biasa, sebaliknya melibatkan pemikiran, pandangan, hujah dan pendirian terhadap sesuatu persoalan.
Kita mengenali wacana politik yang membicarakan kepimpinan, dasar kerajaan dan hala tuju negara. Ada wacana ilmu yang membuka ruang kepada perkembangan pengetahuan, wacana sastera yang membicarakan karya serta pemikiran pengarang dan wacana akademik yang berasaskan penelitian serta hujah ilmiah.
Dalam konteks buku Dinsman, penggunaan istilah itu seolah memberikan ruang kepada setiap tulisan untuk berdiri sebagai sebuah perbincangan tersendiri. Pembaca bukan hanya mengikuti cerita atau membaca catatan peristiwa, tetapi diajak memasuki dunia pemikiran penulisnya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Enam puluh tujuh Wacana dalam sebuah buku mungkin kelihatan banyak. Namun, setiap satunya ibarat pintu yang membuka ruang kepada persoalan berlainan. Ada yang mengajak pembaca melihat hubungan seni dengan masyarakat, ada yang menyentuh sikap orang politik terhadap budaya, dan ada pula yang membawa pembaca berhadapan dengan persoalan kebenaran, keadilan serta tanggungjawab seorang seniman.
Penulis tidak berhasrat menghuraikan kesemua 67 Wacana itu satu demi satu. Tugas sedemikian memerlukan ruang yang jauh lebih panjang dan penelitian yang lebih mendalam. Sebaliknya, perhatian diberikan kepada nota penerbit serta dua Wacana yang dipilih secara rawak, iaitu Wacana 12 dan Wacana 67.
Pemilihan ini bukan bermaksud kedua-duanya paling penting berbanding tulisan lain. Namun, kedua-dua Wacana tersebut memperlihatkan dua sisi pemikiran Dinsman yang menarik untuk direnungkan: tanggungjawab penulis dalam mempertahankan kebenaran dan peranan puisi sebagai suara bantahan terhadap ketidakadilan.

Bahagian nota penerbit memberikan dimensi yang lebih luas untuk memahami buku ini. Penyusunnya melihat kumpulan tulisan Wacana Budaya sebagai sebuah memoir, tetapi bukan memoir yang lazimnya berkisar mengenai perjalanan hidup, keluarga, kerjaya atau pencapaian seseorang.
Sebaliknya, ia lebih menyerupai memoir pemikiran dan pemerhatian seorang budayawan terhadap peristiwa, polemik serta perkembangan budaya dan politik yang dilaluinya.
Seseorang boleh menulis memoir dengan mengingati tempat yang pernah dikunjungi, manusia yang pernah ditemui dan peristiwa yang pernah dilalui. Namun, Dinsman membawa pembaca lebih jauh daripada sekadar ingatan peribadi. Dia merakamkan bagaimana sesuatu peristiwa membentuk pendirian, bagaimana polemik menguji prinsip dan bagaimana dunia politik mempengaruhi kedudukan budaya dalam masyarakat.
Penerbit turut menyentuh nasib rakan-rakan seperjuangan yang seorang demi seorang meninggal dunia, tetapi sumbangan mereka tidak diraikan sewajarnya, bukan sahaja oleh pihak pemerintah, malah pihak tandingan.
Di sini muncul satu persoalan yang cukup menyentuh: mengapa manusia yang mengabdikan hidup kepada perjuangan seni, ilmu dan budaya sering kali tidak mendapat penghargaan sewajarnya?
Budaya sepatutnya menjadi sebahagian daripada pembinaan tamadun. Penulis, penyair, seniman dan pemikir bukan sekadar kelompok yang menghasilkan karya untuk mengisi ruang hiburan. Mereka turut menyumbang kepada pembentukan kesedaran, nilai dan pemikiran masyarakat.
Namun, dalam realiti politik, budaya sering diletakkan di pinggir. Perkara yang lebih mudah menghasilkan perhatian atau keuntungan politik kadangkala diberikan keutamaan berbanding kegiatan yang membina pemikiran.
Nota penerbit memberikan contoh yang cukup menarik, malah menyindir sikap ahli politik yang menganggap majlis berkhatan lebih penting daripada acara diskusi buku.
Ungkapan ‘lucu dan haru (biru)’ yang digunakan penerbit menggambarkan keadaan yang bukan sahaja mengundang senyuman, tetapi turut mengundang rasa kecewa.
Bukanlah majlis berkhatan tidak penting. Ia mempunyai nilai sosial dan kemasyarakatan tersendiri. Namun, persoalannya ialah mengapa kegiatan ilmu dan perbincangan buku seolah tidak mendapat tempat setara dalam perhatian sesetengah pemimpin?
Sebuah masyarakat tidak mungkin berkembang hanya dengan kegiatan yang meriah dan acara dipenuhi manusia. Ia memerlukan ruang untuk membaca, berfikir, berhujah dan menguji sesuatu pendirian.
Penerbit turut menjelaskan, Dinsman, walaupun telah lama mengambil garis politik dalam perjuangan seni dan budayanya, tetap kritis terhadap budaya politik berlebihan sehingga boleh meracuni serta melemahkan perkembangan budaya.
Ini memperlihatkan satu pendirian menarik. Seseorang seniman boleh mempunyai kecenderungan politik, tetapi kecenderungan itu tidak sepatutnya membutakan mata terhadap kelemahan pihak yang disokongnya.
Prinsip budaya dan kebenaran sepatutnya lebih tinggi daripada kesetiaan kepada mana-mana kelompok. Dalam nota itu juga disentuh hubungan Dinsman dengan pemikiran Islam, khususnya pengaruh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Penerbit menggambarkan tekad budaya Dinsman sebagai perjuangan yang disulami inti Islam yang kukuh.
Ungkapan bahawa Dinsman membawa budaya kepada Islam dan Islam kepada budaya, malah membawa teater ke masjid, memperlihatkan usaha merapatkan dua lingkungan yang kadangkala dianggap terpisah.
Seni bukan semestinya bertentangan dengan agama. Budaya juga bukan sesuatu yang perlu dijauhkan daripada nilai kerohanian. Sebaliknya, kedua-duanya boleh menjadi wahana mendidik manusia, membangunkan kesedaran dan menghidupkan nilai kemanusiaan.
Daripada 67 Wacana yang dihimpunkan, Wacana 12 membawa tajuk cukup besar maknanya: Kalau 80 Penulis Pejuang Kebenaran, Bahagialah Malaysia!
Dinsman memulakan perbincangan dengan pengalamannya berhadapan 82 peserta bengkel penulisan bertajuk ‘Membangun Penulis Muda’ yang berlangsung di Hotel Concorde Inn, Sepang, pada 31 Julai.
Ketika berhadapan dengan kumpulan penulis muda itu, terbit satu pemikiran dalam dirinya. Bagaimana sekiranya Malaysia mempunyai seramai itu penulis yang berani menyatakan komitmen terhadap kebenaran, berjiwa rakyat dan bersedia mengambil risiko demi membela keadilan?
Alangkah bahagianya Malaysia, demikian antara gambaran yang dibawanya. Persoalan itu kemudian berkembang menjadi renungan yang lebih besar. Apakah benar sebuah negara boleh menjadi lebih baik sekiranya mempunyai 80 orang penulis yang benar-benar komited kepada perjuangan menegakkan kebenaran?
Dinsman mengaitkannya dengan prinsip amar makruf nahi mungkar dan cita-cita membina sebuah negara Baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur, iaitu negeri yang baik dan mendapat keampunan Tuhan.
Namun, dia tidak berhenti pada keyakinan awal itu. Sebaliknya, dia turut mempersoalkan semula fikirannya sendiri. Adakah semudah itu untuk membahagiakan Malaysia? Adakah cukup dengan kehadiran 80 penulis yang berani memperjuangkan kebenaran?
Persoalan tersebut memperlihatkan kejujuran seorang pemikir yang tidak sekadar mengemukakan pendapat, tetapi turut bersedia menguji semula pandangannya sendiri.
Inilah antara keistimewaan wacana yang baik. Ia tidak semestinya berakhir dengan jawapan yang muktamad. Ada kalanya, kekuatan sesuatu tulisan terletak pada persoalan yang ditinggalkan untuk direnungkan pembaca.
Penulis bukan sekadar penghasil kata-kata. Dia mempunyai tanggungjawab moral terhadap masyarakat. Karya dihasilkan boleh menjadi cermin kepada keadaan semasa, teguran terhadap kepincangan dan suara kepada kelompok yang tidak mempunyai ruang untuk menyatakan penderitaan mereka.
Tetapi, apakah yang dimaksudkan dengan penulis pejuang kebenaran? Bukan sekadar penulis yang pandai mengkritik kerajaan. Bukan juga mereka yang sentiasa menentang sesuatu pihak kerana perbezaan fahaman politik.
Penulis pejuang kebenaran ialah manusia yang meletakkan prinsip lebih tinggi daripada kepentingan diri. Dia tidak menggadaikan pendirian semata-mata untuk mendapat tempat, tidak memutarbelitkan fakta demi menyenangkan pihak tertentu dan tidak menyembunyikan sesuatu kebenaran hanya kerana bimbang kehilangan sokongan.

Keberanian seperti ini bukan sesuatu yang mudah. Dalam dunia dipenuhi kepentingan, penulis memilih untuk mempertahankan kebenaran mungkin berhadapan kehilangan peluang, tekanan, penolakan dan pelbagai bentuk permusuhan. Ada kalanya, suara mereka tidak disukai oleh pihak yang mempunyai kuasa. Ada juga masanya, mereka dipinggirkan oleh kelompok yang sepatutnya menjadi rakan seperjuangan.
Namun, di situlah nilai sebenar prinsip seorang penulis diuji. Dinsman seolah mengajak kita melihat kemajuan sesebuah negara bukan hanya bergantung pada kekuatan ekonomi, pembangunan fizikal atau kemegahan bangunan. Negara juga memerlukan manusia yang berani berfikir dan menyatakan sesuatu yang benar, walaupun kebenaran itu tidak menyenangkan.
Lapan puluh penulis mungkin kelihatan kecil berbanding jutaan rakyat Malaysia. Tetapi, sekiranya mereka benar-benar berpegang kepada prinsip, karya dan pemikiran mereka boleh mencetuskan kesedaran yang jauh lebih besar daripada jumlah mereka.
Namun, persoalan ditinggalkan Dinsman juga perlu diperluas: apakah masyarakat bersedia mendengar kebenaran yang disampaikan oleh penulis?
Penulis boleh menulis, tetapi masyarakat perlu membaca. Penulis boleh menegur, tetapi masyarakat perlu berani menilai. Penulis boleh mengemukakan hujah, tetapi pemimpin juga perlu mempunyai kesediaan untuk menerima teguran.
Kebenaran tidak boleh berdiri dengan kekuatan penulis semata-mata. Ia memerlukan masyarakat yang menghargai ilmu dan kepimpinan yang tidak takut kepada pandangan berbeza.
Maka, tajuk Wacana 12 itu sebenarnya bukan sekadar pujian terhadap peranan penulis. Ia merupakan satu cabaran kepada dunia kepengarangan dan masyarakat seluruhnya.
Jika Wacana 12 membicarakan tanggungjawab penulis sebagai pejuang kebenaran, Wacana 67 pula membawa pembaca ke medan yang lebih khusus, iaitu peranan puisi dalam menyuarakan bantahan rakyat.
Tajuknya ringkas, tetapi mengundang perhatian: Mari Tulis Puisi ‘Duduk Bantah’.
Dinsman memulakan tulisan dengan persoalan mengenai istilah yang lebih tepat digunakan. Adakah puisi ‘Duduk Bantah’ atau puisi ‘Bersih 3.0’? Keduanya boleh diterima, kerana pokok persoalannya ialah puisi yang lahir daripada gerakan bantahan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional ketika itu.
Tulisan ini merakamkan suasana menjelang perhimpunan Bersih 3.0 yang berlangsung pada 28 April 2012, ketika isu ketelusan pilihan raya dan daftar pemilih menjadi antara perkara utama yang dipersoalkan.
Dinsman menyentuh dakwaan berhubung daftar pengundi yang dikatakan mempunyai masalah dan boleh menjejaskan keadilan pilihan raya. Isu tersebut menjadi asas kepada bantahan yang digerakkan oleh rakyat dan kelompok masyarakat sivil.
Dalam suasana itu, Dinsman bersama beberapa anggota jawatankuasa Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sedang mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarang Harakah.
Daripada pertemuan tersebut, muncul satu idea untuk melakukan sesuatu bagi menyokong dan memeriahkan gerakan Bersih 3.0.
Apakah yang boleh dilakukan oleh kelompok seniman dan penulis? Akhirnya, tercetus cadangan menganjurkan pertandingan menulis puisi sempena kempen berkenaan. Pada mulanya, terdapat cadangan supaya keputusan pertandingan diumumkan ketika perhimpunan 28 April dan pemenangnya diberikan ruang membaca puisi masing-masing di hadapan peserta.
Di sinilah kita melihat bagaimana Dinsman memahami fungsi seni dalam kehidupan masyarakat. Puisi tidak semestinya hanya berbicara mengenai cinta, keindahan alam, kesunyian, kerinduan atau hubungan manusia dengan Tuhan. Puisi juga boleh menjadi suara kepada keresahan rakyat, kemarahan terhadap ketidakadilan dan tuntutan terhadap perubahan.
Dalam sejarah kesusasteraan, puisi sering menjadi wadah untuk menyampaikan perkara yang sukar disebut secara langsung. Dengan bahasa padat, simbol, metafora dan perlambangan, penyair mampu menyampaikan teguran yang kadangkala lebih tajam daripada ucapan politik.

Sebuah puisi boleh lahir daripada kesedihan seorang manusia, tetapi kesedihan itu mungkin mewakili penderitaan seluruh masyarakat.
Sebuah puisi boleh bermula daripada kemarahan seorang penyair, tetapi kemarahan itu mungkin mencerminkan kegelisahan rakyat yang sudah terlalu lama memendam rasa.
Maka, apabila Dinsman mengajak penulis menghasilkan puisi ‘Duduk Bantah’, dia sebenarnya sedang membuka ruang kepada seni untuk berinteraksi dengan peristiwa semasa.
Ini bukan sekadar pertandingan menulis puisi. Ia merupakan usaha membawa dunia sastera keluar daripada lingkungan yang terlalu tertumpu kepada pembacaan dan perbincangan sesama penulis.
Puisi dibawa mendekati masyarakat. Penyair diajak menyertai persoalan zamannya. Seni diberikan peranan dalam menyampaikan suara rakyat.
Namun, puisi sebagai suara bantahan juga menuntut tanggungjawab. Keindahan bahasa tidak boleh menjadi alasan untuk mengabaikan ketepatan fakta. Semangat perjuangan tidak seharusnya menghalalkan fitnah atau tuduhan yang tidak berasas.
Karya yang benar-benar bermutu bukan sekadar mampu membangkitkan emosi, tetapi turut menghidupkan pemikiran. Di sinilah pentingnya keseimbangan antara keberanian bersuara dengan tanggungjawab berkarya.
Wacana 67 juga memperlihatkan Dinsman tidak melihat penyair sebagai manusia yang hanya duduk di bilik, menghadap kertas dan menunggu ilham datang. Penyair perlu turun melihat kehidupan, memahami keresahan masyarakat dan menyedari setiap zaman mempunyai persoalan yang menuntut suara seni.
Puisi tidak semestinya mengubah keputusan politik dalam sekelip mata. Tetapi puisi boleh menyimpan ingatan, merakamkan perjuangan dan menjadi saksi kepada sesuatu zaman.
Ada peristiwa mungkin dilupakan apabila kuasa bertukar tangan. Namun, karya yang lahir daripada peristiwa itu boleh terus dibaca oleh generasi kemudian. Barangkali itulah antara nilai yang ingin dibawa Dinsman melalui Wacana 67: seni tidak harus membisu ketika masyarakat sedang bergelut dengan persoalan keadilan.
Apabila nota penerbit, Wacana 12 dan Wacana 67 dibaca secara beriringan, terdapat satu benang pemikiran yang menghubungkan kesemuanya. Ia berkisar mengenai kuasa, kebenaran, tanggungjawab dan kedudukan budaya dalam kehidupan masyarakat.
Dalam mukadimahnya, Macam Orang Gila, Dinsman menyindir manusia yang terlalu mabuk kuasa sehingga lupa batas amanah. Dalam Wacana 12, dia mengimpikan kelahiran penulis yang berani mempertahankan kebenaran. Sementara dalam Wacana 67, dia memperlihatkan bagaimana puisi boleh menjadi medium untuk menyampaikan bantahan rakyat.
Ketiga-tiganya membawa kita kepada satu persoalan besar: apakah makna budaya sekiranya manusia tidak lagi berani mempertahankan kebenaran?
Budaya tidak sepatutnya terbatas pada persembahan pentas, penganjuran festival, majlis penyampaian anugerah atau kegiatan yang sekadar menghimpunkan manusia. Semua itu mempunyai tempat dan nilainya sendiri. Namun, budaya yang hidup perlu mempunyai pemikiran, keberanian dan keupayaan untuk menegur masyarakat.
Begitu juga dengan Islam. Nilainya bukan hanya terlihat pada simbol, slogan atau pengisian majlis rasmi, tetapi perlu diterjemahkan melalui keadilan, amanah, kejujuran dan penghormatan terhadap ilmu.
Akhirnya, mungkin inilah makna paling besar yang dapat dibawa pulang selepas membaca Dinsman – Wacana Budaya.
Sebuah negara tidak hanya memerlukan pemimpin yang bijak mentadbir, ahli ekonomi yang cekap mengurus kekayaan atau ahli politik yang pandai meraih sokongan. Negara juga memerlukan penulis yang berani berkata benar, seniman yang tidak kehilangan prinsip dan budayawan yang sanggup mempertahankan nilai kemanusiaan.
Kerana apabila budaya kehilangan keberanian untuk berfikir, seni kehilangan keberanian untuk bersuara dan penulis kehilangan keberanian untuk menegur, yang tinggal hanyalah kegiatan tanpa jiwa.
Pemikiran dan persoalan yang dibawa dalam buku ini turut memberikan latar yang menarik menjelang program Wacana Budaya & Islam Revolusioner yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 7 November 2026, Sabtu di Eslite, Kuala Lumpur dari jam 2 petang hingga 4 petang.

Program Wacana Budaya itu turut dihadiri tokoh kewartawanan dan penulis, Zin Mahmud yang mengambil bahagian dalam perbincangan dengan membicarakan gagasan Islam Revolusioner.
Perbahasan tersebut menambah dimensi pemikiran kepada wacana berkenaan, khususnya dalam melihat hubungan antara Islam, perubahan sosial, pemikiran kritis dan perjuangan membina masyarakat yang lebih adil.
Kehadiran Zin Mahmud turut memperlihatkan keluasan lingkungan perbincangan Wacana Budaya yang bukan sekadar tertumpu kepada sastera dan kesenian, tetapi turut merentasi persoalan agama, pemikiran, kebudayaan dan perubahan masyarakat.
Dengan penyertaan itu, program berkenaan menjadi ruang pertemuan pelbagai aliran pemikiran yang membuka peluang kepada khalayak untuk menelusuri gagasan dan pandangan daripada sudut yang berbeza. – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
