BERITA UTAMA

Berkerusi roda tidak halang warga emas tunai haji setelah tiga kali terima tawaran

KULAI – Berkerusi roda tidak menjadi penghalang kepada seorang warga emas untuk menunaikan fardu haji selepas tiga kali terpaksa melupakan hasrat itu.

Azmi Kassim, 64, yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja pembersihan berkata, dia menggagahkan diri untuk menunaikan haji kali ini memandangkan rezekinya dipanggil ke Tanah Suci merupakan berkat tabungan sejak mendaftar dengan Tabung Haji pada 2009.

Bapa empat anak itu berkata, tawaran haji yang pertama pada tahun 2020 dan 2022 terpaksa ditolak akibat Covid-19, manakala 2023 pula tahap kesihatannya tidak mengizinkan.

Bagaimanapun, katanya, tawaran haji keempat pula dia diuji dengan kemalangan pada Februari lalu dan terpaksa berkerusi roda selepas lima jari kaki kanannya dipotong.

“Kemalangan berlaku tahun ini, mula-mula rasa macam berat hati hendak pergi haji, tetapi atas semangat dan dorongan keluarga, kawan-kawan dan doktor, saya pergi.

“Saya kena kuat semangat, Insya-Allah boleh, sekarang pun fasiliti sudah moden, jadi kita gunalah keperluan yang disediakan untuk tunaikan haji,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Meraikan Jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor Tahun 1445H/2024M di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini, semalam.

Dia yang telah kematian isteri tahun lalu berkata, anak sulungnya Rashimah, 42, serta suaminya turut menunaikan haji bersamanya, sekali gus dapat membantunya sepanjang berada di tanah suci.

Selain Azmi, tujuh sekeluarga turut berpeluang menunaikan haji bersama selepas menanti sejak 15 tahun lalu.

Bapa tiga anak, Prof. Dr. Safian Sharif, 63, berkata, panggilan dari Tabung Haji membawa berita gembira untuk keluarganya yang mendaftar pada 2009.

“Alhamdulillah, selain isteri dan tiga anak, dua menantu, saya juga berpeluang menunaikan haji bersama.

“Tidak terkata perasaan kami ketika ini, sangat-sangat bersyukur dan gembira, Allah pilih kami semua untuk tunai haji bersama-sama pada tahun ini,” kata Pengarah Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Pagoh yang telah dua kali menunaikan haji.

Terdahulu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meraikan 137 jemaah haji dari negeri itu yang merupakan kumpulan terakhir berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari LTAS sebelum melanjutkan penerbangan ke Makkah, Arab Saudi menerusi penerbangan MH8408 pada jam 8 malam Rabu. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *