BERITA UTAMA

PM: Malaysia tersangat neutral, tak akan pilih antara AS, China

Laporan: Robin Augustin Berita Harian

TOKYO – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia selaku sebuah negara yang tersangat neutral tidak akan menjadi sebahagian daripada pemikiran ‘perang dingin’ di sebalik ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Tiada sesiapa, tiada negara harus menentukan (apa yang dilakukan oleh negara lain).

“Kami akan memutuskan sendiri apa yang terbaik untuk negara kami,” katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Malaysia dalam konteks persaingan yang semakin meningkat antara AS dan China.

Anwar menegaskan AS sudah menjadi sekutu tradisional kepada Malaysia sejak kemerdekaan pada 1957.

“Saya telah katakan secara kumulatif, AS masih rakan dagangan dan pelabur terbesar di Malaysia dan semua pemain (industri) besar di AS dialu-alukan (untuk melabur di Malaysia),” katanya sambil menambah negara itu terus sangat agresif dalam mempromosikan pelaburan.

Dalam konteks China, Perdana Menteri berkata Malaysia mengiktiraf kekuatan ekonomi dan ketenteraan negera itu yang semakin meningkat, malah China disifatkan beliau sebgaai jiran penting yang ‘terlalu dekat dan terlalu strategik’ untuk diabaikan.

“Walaupun saya mengekalkan hubungan sangat baik dengan AS, China, Jepun dan Korea Selatan, saya fikir untuk Malaysia, bagi rantau ini, adalah lebih baik untuk melibatkan diri dengan China, katanya sambil menambah dia tidak mempunyai dasar ‘fobia China’.

Anwar turut menzahirkan harapan supaya China dan AS dapat menyelesaikan perbezaan mereka, selain AS tidak kekal terlalu melindungi dan menghormati daya saing.

“Tetapi itu adalah untuk pemimpin dan penggubal dasar mereka untuk membuat keputusan.

“Bagi Malaysia, kita akan terus melibatkan diri dan menganggap AS sebagai sekutu penting dan meningkatkan kerjasama dengan China,” katanya.

Pada masa yang sama, Anwar berkata Malaysia mengiktiraf kekuatan ekonomi dan ketenteraan China yang semakin meningkat.

Berhubung isu dengan China termasuk tuntutan wilayah di Laut China Selatan, Anwar berkata ada forum khusus untuk menangani perkara itu.

Begitu juga, katanya, walaupun Malaysia mempunyai masalah dengan AS, ini tidak bermakna memutuskan hubungan.

“Apabila saya memegang jawatan Pengerusi ASEAN, saya akan menyeru agar negara-negara anggota mengambil pendirian sama, supaya secara pelbagai hala, kita boleh melibatkan diri dengan negara jiran termasuk China untuk mencari penyelesaian secara baik terhadap perbezaan,” katanya.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *