BERITA UTAMA

Jabatan Peguam Negara tolak representasi Papagomo gugur tuduhan menghasut

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo bagi menggugurkan tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut.

Pada prosiding keputusan representasi itu di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan memaklumkan bahawa arahan yang diterima adalah untuk pihak pendakwaan meneruskan kes berkenaan.

Wan Muhammad Azri yang juga bekas EXCO Pemuda UMNO dituduh mengeluarkan kenyataan menghasut, iaitu kerajaan pro-Israel dan Barat, lapor Berita Harian.

Menurut Deepa, pihak pendakwaan menerima representasi terbabit pada 18 April lalu dan AGC membuat keputusan hari ini.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh, memaklumkan mahkamah, pihaknya sudah menyerahkan beberapa dokumen berkaitan perbicaraan kepada pihak pembelaan.

Beliau memohoh memohon tarikh pengurusan kes dalam masa sebulan bagi menyerahkan bakinya. Perkara itu disahkan peguam, Logen Eskander Abdullah yang mewakili Wan Muhammad Azri.

Hakim Siti Aminah Ghazali kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes pada 4 Julai depan dan memutuskan meneruskan dengan tarikh perbicaraan yang sebelum ini ditetapkan selama empat hari bermula 11 Julai.

Pada 8 Januari lalu, Papagomo, 41, yang didakwa di Mahkamah Sesyen kerana mengeluarkan kenyataan menghasut berkenaan, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebut kata-kata menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi’, jam 1 tengah hari, 8 November lalu, di mana kata-kata berkenaan dilihat oleh seorang lelaki dikenali Hisham Sharudin, 42, di sebuah kondominium di Bukit Bintang.

Kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa kepada denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Papagomo dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *