BERITA UTAMA

Siti Bainun tarik rayuan tangguh hukuman penjara 12 tahun

PUTRAJAYA – Siti Bainun Ahd Razali menarik balik permohonan di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun atas dua sabitan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down dikenali Bella, tiga tahun lalu.

Peguam, Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri yang mewakili pengasas Rumah Bonda itu berkata, penarikan dibuat selepas mereka mahu memfailkan permohonan yang sama, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selain itu beliau berkata, penarikan dibuat kerana permohonan di Mahkamah Rayuan telah bersifat akademik atau tidak lagi relevan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Asmah Musa tidak membantah penarikan rayuan berkenaan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin kemudiannya membenarkan perkara tersebut.

“Permohonan (rayuan) boleh difailkan semula di Mahkamah Tinggi,” kata Ahmad Zaidi.

Pada 23 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun itu, selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penggantungan itu.

Pada 2 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin pula, wanita yang aktif dengan kerja kebajikan itu kekal atas sabitan dan hukuman penjara, yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun sementara 12 tahun bagi pertuduhan kedua, kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. – Sinar Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *