BERITA UTAMA

Lawatan Anwar ke Asia Tengah, misi Malaysia cari lebih ramai sahabat setia

TASHKENT – Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Uzbekistan dan juga beberapa negara lain di Asia Selatan sejak 14 hingga 19 Mei membuahkan hasil, bukan hanya dalam soal kerjasama ekonomi dan beberapa sektor lain, tetapi juga dalam misi mencari lebih ramai “sahabat yang setia”.

Pada ketika ramai pemimpin negara lain lebih memberi fokus untuk membuat kunjungan ke negara-negara maju dan kuasa besar, kunjungan ke negara Asia Selatan mungkin tidak memberikan kesan ketara kepada kemajuan ekonomi.

Bagi lawatan ke negara-negara Asia Tengah itu, boleh dilihat penekanan Perdana Menteri kepada usaha meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara dengan jumlah eksport Malaysia yang lebih besar, namun boleh diamati bahawa Perdana Menteri turut mempunyai sasaran lain.

Anwar membawa empat orang menteri sebagai sebahagian delegasi Malaysia iaitu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Selain Mohamad yang berperanan menjaga hubungan baik dengan negara-negara lain dan Tengku Zafrul yang menjaga hal-hal berkaitan perdagangan dan pelaburan, dua lagi menteri mempunyai sasaran masing-masing dalam lawatan kali ini.

Kerajaan Uzbekistan mahu menjadikan negara itu pusat pengajian berkaitan agama Islam, terutama yang melibatkan hadis memandangkan ia merupakan tempat asal dua ahli hadis terkemuka iaitu Imam Bukhari dan Imam Tirmidzi.

Sehubungan itu Perdana Menteri telah meminta Mohd Na’im dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya melihat bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan kekuatan mereka dan di samping itu juga untuk Uzbekistan menimba pengalaman dari Malaysia.

Di Uzbekistan, Perdana Menteri turut menggunakan kesempatan yang ada untuk melawat beberapa lokasi yang dikaitkan dengan sejarah dan tamadun Islam, semasa kerajaan Uzbekistan berusaha keras mempromosikannya sebagai tarikan.

Pada hari kedua lawatan, beliau dan delegasi melawat Kompleks Imam Hazrati di sini, yang menyimpan manuskrip asal Al-Quran Khalifah Uthman (Mashaf Uthmani), yang tertua di dunia. Kompleks Imam Hazrati merupakan pusat keagamaan Tashkent yang menempatkan beberapa masjid yang telah dipulihara dengan baik, muzium madrasah dan tempat-tempat ziarah lain.

Pada hari kedua juga beliau ke Samarkand, kira-kira 300 kilometer dari Tashkent, dan melawat Kompleks Imam Bukhari yang didirikan di sekeliling Makam Imam Bukhari, sebelum menziarahi Kompleks Laluan Sutera Samarkand yang antara lain menempatkan Kota Abadi, kawasan yang dibina mengikut seni bina kota purba.

Anwar dan delegasi Malaysia turut dibawa ke Kompleks Shah-i-Zinda yang antara lain menempatkan makam Kusam ibn Abbas, sepupu Nabi Muhammad SAW yang juga antara pendakwah terawal membawa ajaran Islam ke Uzbekistan.

Anwar turut menziarah Makam Amir Temur, pemerintah agung Empayar Timurid yang mencetus pembaharuan kearah pembinaan negara kukuh serta berpusat, dan Registan Square yang menempatkan Ulugbek Madrasah, antara masjid terkemuka dunia dan pernah menjadi pusat pengajian saintifik terbesar di Samarkand.

Sebelum mengakhiri lawatan beliau di negara ini pada Ahad, Perdana Menteri berlepas ke Bukhara, 270 kilometer dari Samarkand, dan melawat Naqshbandi Sufi Complex, melihat antaranya makam Baha-ud-Din Naqshband Bukhari, pengasas tarekat Naqshbandi yang meninggal dunia pada 1389, diikuti lawatan keThe Ark of Bukhara, kota besar yang asalnya dibina dan diduduki sekitar abad kelima Masihi, dan Kalon Minaret Complex.

Uzbekistan adalah persinggahan terakhir bagi lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah. Sebelum ini Perdana Menteri telah melawat Kyrgyzstan dan Kazakhstan.

Sewaktu lawatan Anwar di Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Kazakhsatan, ketiga-tiga negara bekas Soviet Union itu menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam membangunkan industri halal di negara masing-masing, dengan Uzbekistan menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan JAKIM bagi memastikan piawaian halal di negara itu mencapai ke tahap yang sama seperti dilaksanakan oleh JAKIM.

Perdana Menteri telah meminta agar Malaysia lebih agresif memasarkan produk halal, yang bukan hanya menumpukan kepada produk makanan dan minuman semata-mata tetapi keseluruhan industri halal.

Dalam soal pelancongan, Anwar juga mahu menyaksikan peningkatan ketibaan pelancong dari negara-negara Asia Tengah ke Malaysia pada ketika jumlah pelancong Uzbekistan ke Malaysia telah mencapai 25,000 pada tahun lepas berbanding hanya 10,000 orang pada tahun sebelum itu.

Pada sidang media di akhir lawatan beliau di Uzbekistan, Perdana Menteri berkata hubungan dengan negara kuasa besar dan kuasa ekonomi seperti China, Jerman dan Amerika Syarikat membawa pelaburan besar yang akan beri manfaat dari segi peluang pekerjaan serta pusat kecemerlangan latihan.

Namun jaringan dengan negara-negara lain juga penting kerana dalam soal hubungan antarabangsa Malaysia memerlukan sahabat-sahabat setia supaya tidak menjadi bahan untuk dipermainkan atau ditekan oleh mana-mana kuasa tertentu.

“Kita ada hubungan baik dengan semua kuasa tetapi jaringan dengan negara-negara berkembang seperti Uzbekistan ini tentu akan banyak membantu kita kerana mereka faham yang kita punyai pendekatan dan strategi sama,” katanya mengulas mengapa beliau memilih mengadakan lawatan ke tiga negara Asia Tengah itu.

Anwar juga berkata kesemua menteri yang berada dalam rombongan beliau di Uzbekistan telah mencapai sasaran masing-masing. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *