Bas terbalik di Jawa Barat ragut 11 nyawa, puluhan cedera

JAKARTA – Sekurang-kurangnya 11 terbunuh dan puluhan cedera apabila bas persiaran dinaiki mereka terbalik di jalan berbukit di Subang, Jawa Barat, pada petang Sabtu.

Kemalangan itu berlaku berhampiran kampung Palasari di mukim Ciater kira-kira jam 6.45 petang waktu tempatan ketika bas yang membawa pelajar itu pulang ke Depok dari Bandung selepas majlis perpisahan.

Jurucakap Polis Jawa Barat, Pesuruhjaya Jules Abraham Abast dalam kenyataan pada Ahad menyatakan, identiti si mati belum disahkan, manakala jumlah mangsa masih dikemas kini.

“Kami sedang menjalankan beberapa siri siasatan dan pengumpulan data di tempat kejadian,” tambah Jules.

Media tempatan melaporkan antara 11 mangsa yang maut ialah seorang penunggang motosikal, seorang guru dan sembilan pelajar.

Mangsa yang cedera parah dan ringan dihantar ke hospital serta pusat kesihatan berhampiran untuk rawatan.

Ketua Agensi Pengangkutan Daerah Subang, Asep Setia Permana menjelaskan, bas itu sepatutnya menuju ke Tol Cipali di Subang.

Namun, dia mengesyaki kegagalan brek mungkin menyebabkan hilang kawalan yang membawa kepada kemalangan tragis itu. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010- 894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *