NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengundi pada hari ini berhubung resolusi menuntut pengiktirafan Palestin sebagai negara anggota penuh badan dunia itu, lapor Agensi Berita Palestin WAFA.
Undian mengenai resolusi itu akan berlangsung semasa Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang dianggotai 193 negara kira-kira 10 pagi waktu New York (10 malam waktu Malaysia).
Ia juga bertindak sebagai tinjauan global bagi menyokong permohonan keanggotaan penuh Palestin dalam pertubuhan antarabangsa tersebut.
Pembantu Menteri Luar Palestin untuk PBB dan agensinya, Omar Awadallah, memaklumkan kepada WAFA bahawa Palestin memenuhi syarat-syarat untuk penerimaan keahlian yang dinyatakan dalam Artikel 4 Piagam PBB.
Resolusi itu perlu mendapatkan undi dua pertiga di UNGA untuk diluluskan.
Awadallah menjelaskan bahawa pengiktirafan UNGA terhadap Palestin sebagai negara anggota penuh antara lain membolehkan ia duduk bersama negara anggota lain mengikut abjad, bercakap mengenai sebarang agenda di PBB dan mengemukakan resolusi atas namanya.
Beliau juga mengesahkan hak Palestin untuk menjadi negara anggota penuh dan menentukan nasib sendiri, sambil menyatakan bahawa 144 negara mengiktiraf Palestin dan ia memenuhi semua kewajipan dan tanggungjawab dalam institusi PBB yang diperlukan untuk keanggotaan penuh.
Ketika ini, Palestin memegang status negara pemerhati tetap, status yang diberikan oleh UNGA pada 2012. – BERNAMA-WAFA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252