BERITA UTAMA

Letupan bom Narathiwat: Ibu mengandung antara dua rakyat berdepan detik cemas

TUMPAT – Seorang daripada dua wanita rakyat Malaysia yang cedera ringan dalam letupan bom motosikal di Narathiwat, Thailand pada Isnin lepas, pasti tidak akan melupakan detik cemas dilaluinya terutama apabila bayi dalam kandungannya ‘tidak bergerak’ sejurus ledakan bom berlaku.

Menceritakan pengalaman itu, Hariza Aziz, 38, berkata dia ke Thailand bersama suami, Mohd Azam Ibrahim, 31, untuk menziarahi kematian neneknya di sana.

“Sebelum kejadian itu berlaku, saya sedang berehat di sekitar tebing sungai melihat pemandangan dan bergambar apabila secara tiba-tiba berlaku letupan kuat yang menyebabkan dada berasa sakit, badan terhuyung-hayang dan pening.

“Paling saya risau ketika itu ialah keadaan kandungan saya yang berusia tujuh bulan kerana selepas sahaja ledakan bom berlaku bayi dalam kandungan seolah-olah tidak bergerak,” katanya kepada pemberita selepas tiba dari Thailand di Jeti JKR Feri Pengkalan Kubor di sini pada Rabu.

Berikutan itu, Hariza dibawa ke Hospital Narathiwat bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

“Alhamdulillah, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kandungan saya dalam keadaan baik dan sihat,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Siti Aishah Ismail, 31, yang juga biras Hariza berkata kejadian tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk berulang-alik ke negara jiran itu kerana mempunyai ramai keluarga dan kenalan di sana.

“Saya mempunyai ramai saudara-mara, selain mempunyai urusan kerja di Thailand dan kerap menziarahi mereka,” katanya yang berasal dari Kampung Geting.

Menurutnya sewaktu kejadian, dia baru sahaja meletakkan motosikal di lokasi berlakunya letupan itu.

“Ketika itu saya dan anak Mohd Afiq Danish, 4, sedang berjalan ke arah tebing Sungai Narathiwat untuk berehat bersama Hariza.

“Sebaik melangkah dalam kira-kira 40 meter tiba-tiba berlaku letupan pada sebuah motosikal berdekatan motosikal saya,” katanya yang hanya mengalami luka kecil pada dahi akibat terkena serpihan.

Pada Isnin lepas, dua rakyat Malaysia antara empat individu yang cedera dalam satu letupan bom di Narathiwat, yang berlaku pada 9.35 malam waktu Thailand. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *