BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditemui maut dalam keadaan mulutnya ditampal pita pelekat dalam kejadian samun di rumah keluarganya di Guar Perahu, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 40-an ditemui tertiarap di lantai biliknya dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh bapanya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan daripada bapa mangsa.
Helmi berkata, berdasarkan keterangan pengadu, selain anaknya, isterinya yang berusia lingkungan 70-an turut diikat kaki serta tangan dan mulutnya ditampal pita pelekat dalam bilik berasingan.
Menurutnya, kejadian disedari pengadu selepas mendapati kediaman mereka berada dalam keadaan berselerak.
Pengadu kemudiannya menemui isterinya dalam keadaan tangan serta kaki terikat kabel sebelum memeriksa bilik anak lelakinya.
Mangsa yang merupakan OKU bisu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Bukit Mertajam, manakala isterinya hanya mengalami luka pada jari kanan.
Sementara itu, Helmi berkata, suspek dipercayai dua lelaki bersenjatakan parang telah memecah masuk kediaman keluarga itu dan melarikan wang tunai serta sebuah televisyen.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40-an yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya, (HSJ) untuk bedah siasat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252