3 remaja sesat di Gunung Keriang dijumpai selamat – Bomba

ALOR SETAR – Tiga pendaki yang sesat di Gunung Keriang dekat sini, semalam dijumpai dalam keadaan selamat dan dibawa keluar oleh anggota bomba dengan bantuan Malim Gunung Perhutanan (MGP).

Komander Operasi Kanan BBP Alor Setar, PgKB I Ahmad Aminudin Abd. Rahim berkata, pihaknya bersama 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah pada jam 6.02 petang.

Katanya, pasukannya telah bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan gunung itu.

“Mangsa akhirnya berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan telah dibawa keluar oleh pasukan diketuai PBT II, Noor Syakirah Mohd Rosli dengan menggunakan tali penyelamat dan turut dibantu MGP.

“Maklumat awal diterima sebaik tiba di lokasi ialah terdapat tiga remaja telah sesat di kawasan gunung tersebut iaitu lelaki berusia 19 tahun dan perempuan berusia 14 serta 17 tahun.

“Semua mangsa kemudiannya dibawa ke hospital dengan Unit EMRS sebaik dibawa turun ke kaki gunung,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, dalam kejadian itu, seorang MGP yang turut serta dalam operasi penyelamatan telah mengalami kecederaan di bahagian kaki.

“Mangsa telah dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans KKM. Setelah selesai, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.28 pagi ini,” katanya. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *