Kumpulan pertama bakal haji berlepas tengah malam tadi

SEPANG – Kumpulan pertama jemaah haji bagi Musim Haji 1445H/2024M, berlepas ke Tanah Suci jam 12.05 tengah malam ini.

Seramai 282 bakal jemaah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.05 malam tadi dari Alor Setar dan Kota Bharu dan mereka menaiki penerbangan pesawat Malaysia Airlines 8050 ke Madinah.

Kumpulan jemaah berkenaan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah, jam 3.50 pagi waktu Arab Saudi (8.50 pagi waktu Malaysia).

Bagi meraikan Dhuyufurrahman (tetamu Allah), Lembaga Tabung Haji (TH) mengadakan Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji Malaysia bagi Penerbangan Pertama yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, jemaah yang terpilih mengunjungi Makkah ialah anugerah terindah dari Allah SWT bagi menyempurnakan ibadah rukun Islam kelima.

Menurutnya, beliau berharap semua bakal haji dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci.

Katanya, bakal haji dinasihatkan agar menjaga kesihatan dan kebersihan diri kerana cuaca di Tanah Suci ketika ini panas dan boleh mencecah hampir 50 darjah celcius.

“Bakal haji juga dinasihatkan agar mengikut nasihat dan arahan TH agar semua amalan haji dapat dilaksanakan dengan sempurna dan lancar,” katanya.

Yang turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Seramai 31,600 bakal jemaah akan berlepas secara berperingkat dan yang terakhir dijangka pada 9 Jun depan, manakala penerbangan pulang bermula 24 Jun dan yang terakhir dijangka 21 Julai 2024.

Sebanyak 100 penerbangan sewa khas haji disediakan menerusi Malaysia Airlines Bhd dan Saudi Airlines.

Mohd Na’im berkata, pagi ini seramai 284 bakal haji kumpulan kedua akan berlepas ke Madinah pada jam 4.05 pagi dan tiba 7.50 pagi waktu Madinah (12.50 petang waktu Malaysia). – BERITA HARIAN

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *