BERITA UTAMA

Kes simbah asid: Suspek kedua ditahan di Bangi

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lagi suspek semalam, dipercayai dapat membantu siasatan kes serangan dengan asid ke atas pemain bola sepak negara, Faisal Halim.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika mengesahkan perkara itu, berkata, suspek ditahan di Bandar Baru Bangi, dekat sini.

“Suspek seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an dan ditahan di Bandar Baru Bangi lewat petang semalam.

“Suspek direman pagi ini di Mahkamah Petaling Jaya,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, BH melaporkan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian serangan terhadap pemain bola sepak negara ditahan di Pandan Indah, Ampang dekat sini, malam kelmarin.

Suspek berusia 20-an itu ditahan berdasarkan nombor pendaftaran sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Suspek kemudian direman dua hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

Terdahulu, Faisal yang juga bintang kelab bola sepak Selangor FC mengalami kecederaan teruk di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Faisal dilaporkan mengalami cedera kebakaran tahap empat dan keadaannya semakin membimbangkan apabila dikatakan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta, di sini, semalam. – BH

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *