BERITA UTAMA

Simbah asid: Suspek pertama bukan pelaku – Ketua Polis Selangor

KUALA LUMPUR – Siasatan polis ke atas suspek pertama yang ditahan berkaitan kes simbah asid pemain bola sepak negara, Faisal Halim, kelmarin, bukan pelaku dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis mendapati suspek sebenar kes itu yang menaiki motosikal semasa kejadian menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, nombor pendaftaran motosikal digunakan pelaku dalam kes ini, sama dengan nombor pendaftaran motosikal milik suspek yang ditahan, kelmarin.

“Siasatan mendapati suspek pertama yang ditahan itu tiada kaitan dengan kes ini dan akan dibebaskan.

“Namun, dia akan ditahan semula kerana ujian saringan air kencing ke atasnya mendapati positif dadah,” katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, BH melaporkan polis menahan suspek kedua, di Bandar Baru Bangi dekat sini, semalam bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Hussein dilaporkan berkata, suspek berusia lewat 30-an itu ditahan lewat petang semalam, dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Petaling Jaya pagi ini.

Terdahulu, polis mengesahkan menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian serangan terhadap pemain bola sepak negara ditahan di Pandan Indah, Ampang dekat sini, malam kelmarin.

Suspek berusia 20-an itu ditahan berdasarkan nombor pendaftaran sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian berkenaan. Suspek kemudian direman dua hari untuk membantu siasatan.

Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya. – Berita Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *