BERITA UTAMA

Malaysia kekurangan 30,000 jurutera, perlu tampung dengan TVET – PM

KOTA BHARU – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan dipertingkatkan bagi menampung kekurangan kira-kira 30,000 jurutera di negara ini.

Perdana Menteri berkata, selain itu, menjadi tuntutan pada zaman sekarang untuk memberi tumpuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) supaya tidak ketinggalan.

“Saya menyebutnya di hadapan semua kepimpinan dalam negara apa kebimbangan kita mengenai nilai soal akhlak, soal entiti kita sebagai rakyat Malaysia dan soal budaya kita supaya dalam mempertahankan teknologi baharu ini.

“Kita juga berupaya mempertahankan akidah dan akhlak kepada kefahaman agama kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Tahun 2024 peringkat Negeri Kelantan di RTC Tunjong, di sini, malam tadi.

Anwar berkata, teknologi AI juga akan diterap dalam kalangan pelajar di Maahad Tahfiz atau di TVET untuk menguasai ilmu baharu itu agar tidak ketinggalan.

Katanya, bagi merealisasikan usaha itu, syarikat Microsoft telah menyuarakan minat untuk turut melabur sebanyak RM10.5 bilion bagi pembangunan teknologi AI di Malaysia.

Perdana Menteri turut memberi jaminan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus yang diumumkan semalam akan mendapat sokongan semua Ahli Parlimen.

“Saya fikir tiada masalah dalam meluluskan tambahan bagi kenaikan gaji penjawat awam berkuat kuasa 1 Disember ini.

“Ahli Parlimen mana yang mahu bangkang usaha kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam, malah Kelantan juga sudah menyatakan sokongan dan memaklumkan ia adalah cadangan yang baik,” katanya.

Pada Rabu, Anwar berkata, kenaikan itu merupakan usaha untuk mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi.

Beliau berkata, di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperinci, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan berbanding ketika ini yang menyaksikan jumlah pendapatan minimum meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam RM1,795 sebulan. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *