UMNO kekal dengan pendekatan sederhana – Khaled

MELAKA – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin senang melihat kepimpinan parti itu di Melaka yang kekal dengan pendekatan sederhana.

Beliau berkata, sememangnya UMNO dari dahulu lagi menerima hakikat kemajmukan yang ada dalam negara.

“Saya berpeluang singgah di pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Udang, Melaka, selepas satu lawatan kem di Terendak, hari ini.

“Terima kasih Datuk@raisyasin, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu atas kesudian menjemput saya.

“Saya cukup senang melihat kepimpinan UMNO di Melaka yang kekal dengan pendekatan sederhana. Sememangnya parti kita ini dari dahulu lagi menerima hakikat kemajmukan yang ada di dalam negara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Mohamed Khaled berkata, bagi membangunkan tanah air ini, UMNO memerlukan dukungan seluruh rakyat, tidak hanya sebahagian masyarakat. Justeru, katanya, dalam menguruskan negara, UMNO sentiasa memilih pendekatan yang sederhana, tidak ekstrim dan radikal.

“Sebab itu jugalah kita bersama Kerajaan Perpaduan hari ini. Pun begitu, dalam kesederhanaan, kita tidak akan sesekali berganjak daripada memainkan peranan kita sebagai sebuah parti Melayu dalam kerajaan.

“Saya berharap agar nilai kesederhanaan ini dapat terus kita pegang. Demi Malaysia yang terangkum, makmur dan stabil,” katanya. – Nasionaldaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *