SERDANG – Lebih 12,000 tan makanan dibuang setiap hari di negara ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Kata beliau, sedangkan negara sering menguar-uarkan bahawa membazir itu amalan syaitan.
Justeru, katanya, mulai sekarang, beliau mengajak rakyat agak menanam azam supaya amalan pembaziran itu tidak diteruskan dalam kehidupan seharian.
“Saya amat sedih apabila mendengar lebih 12,000 tan makanan dibuang setiap hari di negara ini, sedangkan kita sering diingatkan bahawa membazir itu amalan syaitan.
“Mulai sekarang, marilah sama-sama kita berazam supaya amalan pembaziran ini tidak diteruskan dalam kehidupan seharian kita,” katanya pada majlis amanatnya sempena sambutan mesra Aidilfitri 2024 di Maeps Sedang, di sini, hari ini.
Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, dalam keghairahan sambutan Aidilfitri janganlah semua lupa pada nasib saudara seIslam di Palestin yang sedang diuji dengan peperangan, kesusahan dan juga kelaparan.
Semalam, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam dan dalam masa sama turut menegaskan, Kerajaan Perpaduan hari ini sesekali tidak akan pernah melupakan kebajikan pekerja di sektor-sektor lain.
“Misalnya, sebelum ini kerajaan telah menaikkan Skim Subsidi Harga Padi dari RM360 kepada RM500 per tan metrik dan harga lantai belian padi dari RM1,200 kepada RM1,300 per tan.
“Saya hendak mengingatkan semua mengenai halatuju dan fokus KPKM yang perlu dicapai bagi tahun 2024 melalui inisiatif Pelan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang telah kita gariskan pada awal tahun ini.
“Saya juga hendak menyeru kepada semua warga KPKM supaya kita semua bekerja sebagai sebuah pasukan,” katanya. – Nasionaldaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252