PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) telah mewujudkan talian khas 24 jam sebagai platform untuk menyalurkan aduan berkaitan isu penghinaan terhadap agama Islam termasuk yang dicetuskan menerusi laman media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN), polis, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkaitan untuk menangani isu penghinaan agama Islam.
“Masyarakat awam boleh membuat aduan serta laporan berkaitan apa-apa isu penghinaan terhadap agama Islam di talian WhatsApp 017-3234533 atau e-mel ke aduan@islam.gov.my.
“JPM (Hal Ehwal Agama) secara konsisten memberikan penegasan akan sentiasa memelihara kesucian serta ketinggian agama Islam. Mana-mana pihak yang didapati melakukan sebarang tindakan menghina Islam perlu dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Na’im dalam masa yang sama turut menyeru semua pihak sentiasa bertanggungjawab dalam setiap tindakan bagi memelihara perpaduan dan keharmonian dalam negara.
“Apa-apa bentuk provokasi dan tindakan ekstrem perlu dihentikan. Perpaduan adalah nikmat yang perlu dipertahankan demi mencapai cita-cita Membangun Malaysia Madani,” katanya. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252