BERITA UTAMA

PRK KKB: Ramasamy perlu bertanggungjawab jika pengundi pilih pemimpin tidak tepat – Ramanan

HULU SELANGOR – Pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy perlu bertanggungjawab jika rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) memilih pemimpin tidak tepat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini bagi mengemudi pembangunan di situ.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan, yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR berkata, jika kempen dilakukan itu berjaya, bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu perlu berdepan penduduk KKB sekiranya timbul masalah pada masa hadapan.

“Jika ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) (bukan daripada Kerajaan Perpaduan) yang menang selepas ini tidak dapat tolong mereka (penduduk KKB), adakah Ramasamy akan pergi tolong mereka?

“Sebab saya banyak kali nampak selepas menang, (alasan yang diberikan) kita bukan kerajaan negeri, kita tiada peruntukan, (jadi) kita tak boleh tolong. Saya nak bertanya adakah masa itu Ramasamy akan tolong mereka?” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Vanakam MADANI bersama penduduk KKB, di sini, pada Ahad.

Media pada Ahad melaporkan, Ramasamy telah memulakan kempen dengan meminta pengundi di KKB menolak Pakatan Harapan (PH).

Ramanan turut menyeru penduduk termasuk komuniti India di kawasan itu agar tidak terpengaruh dengan kempen berkenaan.

PRK KKB, yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon PH, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bagi memperhebatkan lagi penyebaran maklumat mengenai insiatif dan bantuan kerajaan agar tiada rakyat yang tercicir daripada menerima manfaat.

Beliau berkata ini kerana daripada dapatan yang diterima, masih wujud kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung inisiatif dan bantuan disediakan oleh Kerajaan Perpaduan yang ditimbulkan pihak tertentu.

Mengulas mengenai Vanakam MADANI, Ramanan berkata, ia diadakan untuk memberi penerangan kepada komuniti India selain memberi peluang kepada mereka untuk berkongsi pandangan secara terus kepada Kerajaan Perpaduan.

“Hari ini kita datang sendiri dan telah mendapat banyak maklum balas daripada komuniti di sini dan mendengar isu-isu (yang) dihadapi (seperti) kemarahan serta ketidakpuasan hati mereka.

“Ia sangat bermanfaat sebab kami sebagai pemimpin kena tahu dan ambil maklum apa sahaja kesusahan (rakyat) bukan sahaja komuniti India tetapi juga masalah tempatan,” katanya. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *