BERITA UTAMA

PM yakin terhadap IsDB dalam tangani ketidaksamaan, marginalisasi umat Islam

RIYADH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, menyatakan keyakinan terhadap Bank Pembangunan Islam (IsDB) yang akan terus berperanan penting dalam menangani isu ketidaksamaan dan marginalisasi, terutama dalam kalangan umat Islam.

Beliau berkata, umat Islam masih  kumpulan terbesar dari segi jumlah kawasan dilanda kemiskinan yang diabaikan.

“Saya fikir, selain dari usaha oleh kebanyakan kerajaan dan badan antarabangsa kita, IsDB mempunyai peranan penting untuk menangani isu ini.

“Malah, apabila kita melihat harapan untuk penyelesaian yang baik terhadap konflik di Gaza selepas berhadapan kekejaman rejim Israel,” kata beliau dalam ucapan pada sambutan Jubli Emas IsDB, di sini.

Anwar berkata, apabila isu itu dapat diselesaikan, IsDB akan dilihat sebagai pemain mengagumkan bersama dengan kerajaan yang cuba memulihkan ekonominya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bank itu perlu merebut peluang tersebut.

“Jika kita tidak mengambil peluang ini, ketidaksamaan akan bertambah buruk, masalah akan timbul. Dan kita akan melihat sekali lagi, marginalisasi yang besar dalam komuniti kita,” tegas beliau.

Selepas menyaksikan sumbangan IsDB sejak 50 tahun yang lalu, Perdana Menteri menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan bank itu untuk terus maju, terutama dengan kepimpinan muda baharu yang menerajuinya.

“Saya mempunyai keyakinan penuh anda akan menjadi pemain utama untuk melangkaui fokus lazim Bank Pembangunan Islam, tetapi maju ke hadapan untuk menangani isu penting mengenai teknologi baharu.

“Keperluan untuk keterangkuman dan semangat membantu orang ramai, terutama mereka yang dipinggirkan melalui pendidikan, latihan, peluang ekonomi, pemerkasaan ekonomi dan keusahawanan,” kata beliau.

Beliau berkata, IsDB mendapat sokongan Malaysia dalam usahanya ke arah ini.

Sementara itu, beliau turut menyertai pemimpin negara anggota dan bukan anggota lain dalam merakamkan ucapan tahniah kepada bank itu sempena ulang tahun ke-50 memupuk pembangunan sosioekonomi dalam kalangan negara anggotanya.

Malaysia menyertai IsDB pada 12 Ogos 1974 dan mempunyai langganan modal sebanyak 1.55 peratus bernilai ID868.18 juta (dinar Islam) atau bersamaan dengan satu hak cabutan khas Tabung Kewangan Antarabangsa.

Selain itu, IsDB juga telah membiayai 166 projek di Malaysia yang bernilai AS$963.2 juta dengan sejumlah 160 projek (AS$945.8 juta) telah siap, manakala enam lagi projek (AS$17.4 juta) sedang dilaksanakan.

Anwar berada di ibu negara Arab Saudi itu selama dua hari mulai Ahad bagi mengetuai delegasi Malaysia untuk meninjau pelbagai peluang ekonomi dan menarik pelaburan baharu di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Beliau turut dijemput menghadiri sambutan Jubli Emas IsDB.

Hari ini, beliau dijadualkan menyaksi pemeteraian memorandum persefahaman antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan IsDB membabitkan Kewangan Islam dan Pasaran Modal Islam. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *