BERITA UTAMA

Letupan bom Sungai Golok: PDRM tingkat kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand

KOTA BHARU – Polis mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden letupan bom dan bunyi tembakan yang dipercayai berlaku di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat awal hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis juga pada masa sama akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand.

Beliau berkata, hubungan bilateral PDRM dengan pihak berkuasa Thailand amat baik terutama melibatkan isu persempadanan negara.

“Keselamatan penduduk yang menetap di kawasan berhampiran sempadan negara perlu diutamakan termasuk keselamatan anggota PDRM yang bertugas di kawasan berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Razarudin berkata, semua Ketua Polis Negeri terutama Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak diminta bersiap-siaga berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Sheik Azhar Sheik Omar berkata, pihaknya berada dalam keadaan siap-siaga termasuk melakukan rondaan jalan kaki dan bermotosikal sepanjang 16 pos statik pasukan itu.

“Kami menjangkakan kejadian berkenaan berlaku di sebelah Thailand di sempadan kawasan Rantau Panjang.

“Secara proaktifnya, kami mempunyai 16 pos statik di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ibrahim Pencen hingga ke Pos Ular di Pengkalan Kubor, Tumpat,” katanya.

Beliau berkata, pasukan sekatan jalan raya turut digerakkan dengan kekuatan enam anggota yang dijalankan secara berterusan dengan pemantauan bermula sejak 6 pagi tadi secara fokus, manakala tindakan selanjutnya bergantung kepada arahan Ketua Polis Negeri.

Terdahulu, tular klip video berkait insiden berkenaan selepas dimuat naik oleh penduduk tempatan menerusi laman sosial. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *