Kumpulan Richiamo umum penstukturan jawatan baharu

KUALA LUMPUR – Kumpulan Richiamo Sdn. Bhd. mengumumkan penstrukturan syarikat dengan melibatkan pertukaran dan pelantikan baru bagi mengetuai anak-anak syarikat yang ditubuhkan berkuatkuasa April 2024.

Mendahului pertukaran dan penstrukturan semula jawatan ialah Muhamad Zamry Abu Samah yang sebelum ini merupakan Pengarah Urusan Richiamo Coffee Sdn. Bhd. dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Sdn. Bhd.

Beliau bertanggungjawab terhadap pembesaran, operasi dan memantau hal ehwal anak-anak syarikat iaitu Richiamo Coffee Sdn. Bhd., Richiamo Manufacturing Sdn. Bhd., Richiamo Mart Sdn. Bhd., dan Yayasan Dakwah Negara.

Muhamad Zamry berkata, penstrukturan semula syarikat itu adalah bagi mengukuhkan kedudukan jenama Richiamo di pasaran tempatan, selain mengembangkan perniagaan menerusi anak-anak syarikat yang baharu ditubuhkan.

“Selepas lapan tahun ditubuhkan, jenama Richiamo hanya dikenali sebagai jenama kopi dan saya merasakan sudah tiba masanya untuk kami berkembang kepada perniagaan lain yang berkait rapat dengan perniagaan teras Richiamo Coffee,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kumpulan Richiamo merancang untuk bergerak aktif mulai tahun 2024 sebagai sebahagian perancangan untuk perkembangan perniagaan secara keseluruhannya.

Tambahnya, di bawah Kumpulan Richiamo, beberapa anak syarikat telah dikenal pasti untuk memulakan operasi masing-masing mulai suku pertama 2024 dan calon-calon berkaliber telah pun dikenal pasti untuk mengetuai anak-anak syarikat ini.

Richiamo Holdings Sdn. Bhd. turut mengumumkan pelantikan Wan Najib Wan Daud sebagai  Pengarah Urusan Richiamo Mart Sdn. Bhd. berkuatkuasa April 2024.

Sebelum ini, Wan Najib merupakan pegawai khas kepada Pengarah Urusan Richiamo Coffee dan akan mengetuai operasi keseluruhan serta pengembangan dan pembukaan cawangan-cawangan Richiamo Mart di seluruh negara.

Beliau membawa bersama pengalaman luas dalam pelbagai industri, termasuk media dan permotoran serta korporat.

Sebelum menyertai korporat, Wan Najib berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif Utusan Malaysia dan pernah menyandang jawatan Setiausaha Akhbar Menteri MITI.

Richiamo Mart merupakan anak syarikat yang baharu ditubuhkan dan merupakan sayap perniagaan baharu dalam segmen runcit dan beliau akan dipertanggungjawabkan terhadap perancangan Richiamo Mart khususnya.

Dijangka menjelang separuh kedua 2024 sebanyak tiga atau empat cawangan Richiamo Mart akan memulakan operasi masing-masing.

Mengetuai semua operasi Richiamo Coffee pula, Nurul Nabilah Muhamad Zamry sebagai Ketua Pegawai Operasi dan akan mengetuai semua operasi harian rangkaian kopi premium itu, juga bermula April 2024.

Sehingga kini Richiamo Coffee telah memiliki lebih 200 cawangan di seluruh negara.

Mengetuai Richiamo Manufacturing Sdn. Bhd. ialah Lim Boo Hiong yang akan memantau operasi pembuatan dan pembekalan bahan-bahan mentah yang akan digunakan oleh anak-anak syarikat Kumpulan Richiamo.

Beliau sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Kewangan DNC Asiatic Sdn. Bhd.

Manakala Nor Zuliyana Ahmad dilantik mengetuai Yayasan Dakwah Negara yang akan memantau semua gerak kerja yayasan yang lebih bertumpu kepada kerja kebajikan dan juga tanggungjawab sosial korporat untuk Kumpulan Richiamo. –  Nasionaldaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *