BERITA UTAMA

Tahanan rumah, Latheefa kena rujuk seksyen 2 dan 3 Akta Penjara – Peguam

KUALA LUMPUR – Mana-mana orang yang telah disabitkan bersalah adalah dikawalselia di bawah Akta Penjara 1955, kata Peguambela dan Peguamcara, Nik Saiful Adli Burhan.

Beliau turut merujuk kepada tafsiran maksud “Penjara” sebagaimana termaktub dalam Seksyen 2 Akta Penjara iaitu;

“Penjara”, ertinya mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat, atau mana-mana bahagiannya, yang diisytiharkan sebagai sesuatu penjara di bawah Seksyen 3 dan hendaklah termasuk tanah dan bangunan di sekitar kepungan penjara dan juga tanah lapang dan lain-lain tanah atau bangunan yang dipunyai atau yang bercantum dengannya dan digunakan oleh banduan;

Katanya, Seksyen 3 Akta Penjara 1995 telah menyatakan bagaimana sesuatu tempat boleh dijadikan penjara iaitu;

“Menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam warta, mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat, atau mana-mana bahagiannya, sebagai suatu penjara bagi maksud akta ini bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah dan boleh dengan cara yang sama mengisytiharkan bahawa mana-mana penjara sedemikian hendaklah terhenti sebagai suatu penjara bagi maksud akta ini.

Justeru, kata beliau, berdasarkan dua seksyen itu sahaja, mana-mana orang berpendidikan undang-undang boleh faham bahawa semua tempat boleh dijadikan tempat tahanan banduan.

“Cukup dengan merujuk kepada dua peruntukan undang-undang ini, rumah Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dijadikan sebagai penjara dan tempat tahanan untuk beliau.

“Sebagai peguam, saya nasihatkan kepada semua yang berminat memberi ulasan berkenaan Titah Tambahan (Addendum) Yang di-Pertuan Agong supaya faham undang-undang, bukan sekadar mahu bercakap politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya yang dilaporkan menyelar kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan tahanan di rumah terhadap Najib adalah Titah Diraja.

Beliau menyatakan, keputusan itu adalah tanggungjawab kerajaan termasuk Menteri Kabinet dan Peguam Negara, iaitu kerajaan yang bertanggungjawab, bukan raja.

Ahad lalu, media melaporkan Anwar sebagai menegaskan, kerajaan tidak akan mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu dalam suatu isu termasuk permohonan Najib berkaitan tahanan di rumah.

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *