PETRA Perkasakan Program Solar ATAP, Galak Rakyat Jana Tenaga Kendiri

PUTRAJAYA – Kerajaan mempercepat pelaksanaan program solar atas bumbung (Solar Atap) dengan menggalakkan rakyat serta sektor industri menjana tenaga sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada grid elektrik nasional.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menegaskan program itu membantu pengguna mengurangkan kos bil elektrik dalam jangka panjang selain menyokong peralihan negara kepada tenaga boleh baharu dalam kenyataan hari ini.

PETRA menjelaskan pengguna boleh menjimatkan bil elektrik melalui pemasangan sistem solar dan menyalurkan lebihan tenaga ke grid melalui skim yang disediakan.

“Program ini dijangka boleh meningkatkan kemampanan kendiri tenaga dan seterusnya mengurangkan kesan ketidaktentuan harga elektrik semasa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian berkenaan menjelaskan bahawa pengguna bukan domestik kini boleh memilih pelbagai model perolehan seperti pajakan dan sewa beli solar yang ditawarkan oleh syarikat pemasangan, sekali gus membolehkan penggunaan tenaga boleh baharu tanpa memerlukan modal awal.

“Bagi membolehkan program Solar ATAP ini menjadi lebih terjangkau kepada semua pihak, terutamanya bagi mengimbangi kesan negatif akibat krisis tenaga global, PETRA sedang merangka penambahbaikan ke atas program Solar ATAP, khususnya untuk pengguna domestik,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, PETRA memaklumkan bahawa pengguna kategori voltan sederhana (MV), voltan tinggi (HV) dan voltan tinggi ultra (UHV) yang memerlukan harga elektrik stabil boleh mempertimbangkan program Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) sebagai pilihan mendapatkan bekalan elektrik hijau untuk jangka panjang.

Selain itu, PETRA turut menggesa pengguna mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap, termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada 24 darjah Celsius, memilih peralatan elektrik cekap tenaga serta memanfaatkan skim Tarif Pengguna Masa (ToU) bagi mengoptimumkan kos penggunaan elektrik.

“PETRA yakin bahawa pelaksanaan inisiatif berkenaan mampu membantu rakyat mengurangkan beban kos tenaga, selain berperanan sebagai pemangkin strategik dalam memperkukuh landskap tenaga negara bagi jangka panjang” menurut kenyataan itu.

Menurut PETRA, usaha itu selaras dengan dasar kerajaan yang menitikberatkan keseimbangan *Energy Trilemma*, iaitu keselamatan bekalan, kemampuan bayar dan kemapanan untuk manfaat semua pihak. – BERNAMA

Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *