BERITA UTAMA

EPISOD 18: “Mr 10%” di mata kreatif Ahkarim

SAHABAT Pak Long, Presiden Paksi, Dinsman memandang tinggi kemahiran Ahkarim bercerita dan memberikan Paksiwan ini dengan tanda harga yang cukup istimewa – “memang seorang penulis cereka berbakat besar, walaupun ia bermula pada usia yang agak lewat”. Jika saudara pembaca ingin ketahui lebih lanjut pandangan Presiden Paksi ini, sila baca prakata sepanjang 21 muka surat bertajuk, “Membaca Cerpen-Cerpen Pensionfobia dengan “Teori Tekad Budaya” yang ditulis Dinsman untuk “kumpulan cerpen politik – pensionofobia” Paksi dan Nuha Creative Enterprise, 2019.

Pak Long memilih membaca antologi ini dari belakang iaitu cerpen kesembilan belas mungkin kerana tertarik dengan tajuknya. Mungkin. Permulaan latar cerpen tak banyak berbeza dengan tema dengan sekian banyak sitcom bersiri televisyen Malaysia iaitu kisah kehidupan yang sarat dengan drama dan intrig mengejar harta dan mengejar perempuan oleh para saudagar Melayu yang sedang meningkat kaya. Ya, televisyen kita kurang berminat dengan kisah-kisah kampung dan kampungan seperti Anjang Aki atau pun Mohd Dhuha.

Begitu saja terbaca ayat bagaimana Ariff trauma kerana hampir-hampir tergelincir dari kondo tinggi melayup di kota London itu, minat Pak Long segera terpancing. Aduhai, mujurlah yang jatuh hanya anak patung sebesar Ariff – bukannya Aliff! Fuuh… berderau darah membayangkannya. Kata Ahkarim, Ariff terus kekal di London.

Ringkasnya, Mr 10% adalah sang maha kaya, yang sangat berpengaruh dalam politik tanah air; dari kelompok inner circle kuasa di negaranya. Dia hidup bergelumang dengan hartanah merentasi pelbagai negara dan benua. Kata Ahkarim, sang protagonisnya pernah menyergah pegawai pencegah rasuah dengan terjahan soalan maut “sebagai EMPI, ADUN, EKSKO, EMBI dan Menteri, apakah kau mahu persoal dari mana punca duit aku?”

Sebagai manusia, kehidupan kita tidak lari dari takdir. Maka takdir itulah yang menemukan sang Tan Sri protagonis dengan sekumpulan anak-anak tabligh yang tersesat sehingga sampai ke hotelnya di Putra World Trade Centre (PWTC). Tan Sri protagonis dengan senang hati telah menghantar anak-anak muda tabligh ini pulang ke masjid di Sri Petaling. Di situ dia melihat Aliff berzikir, beristighfar dan menjawab hanya apabila ditanya. Begitulah daya tarikan besi berani bernama Aliff dan rakan-rakannya terhadap Mr 10%! Untuk ketahui kenapa dan mengapa, Pak Long mengesyorkan saudara semua untuk membaca cerpen ini.   

Ya jelas, ‘peristiwa ini’ telah mengubah haluan hidup Mr 10% – dia juga keluar 40 hari!

Ya, tentulah geger, riuh rendah dunia orang-orang berada. Masakan tidak, Mr 10% yang kaya raya, sang pakar ‘apa dan siapa yang boleh dibeli’ itu telah ‘masuk dakwah’.

Walaupun dalam jalur ceritanya, terdapat ciri-ciri kebetulan ala-ala filem Bollywood, terus terang Pak Long memang teruja membaca cerpen ini, lebih-lebih lagi aspek ilmu bantu yang Ahkarim kuasai untuk memeriahkan suasana cerpennya.

Buat mereka yang ingin ketahui apakah bentuk sastera kreatif yang mengangkat ‘Tekad Budaya’ sebagai temanya, silalah baca “kumpulan cerpen politik – pensionofobia” – memang tidak mengecewakan!

NDEPISOD18“Mr 10%” di mata kreatif Ahkarim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *