BERITA UTAMA

KPWKM sedia bantu keluarga wira negara

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendapatkan maklumat dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkaitan keluarga mangsa nahas helikopter sebelum bantuan diberikan.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, pihaknya tahu dalam kesukaran seperti ini, mereka memerlukan orang lain untuk membantu menenangkan dan memberi sokongan.

“Kita akan sentiasa dan boleh membantu keluarga mangsa,” katanya ringkas menerusi hantaran Facebooknya.

Di Ipoh semalam, lapan van jenazah membawa mangsa nahas dua helikopter di Lumut, keluar dari Kem Gua Permai, Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD) di Jalan Tambun, di sini, kira-kira jam 6 petang selepas solat jenazah.

Lapan jenazah beragama Islam itu dibawa masuk ke kem pada jam 4.55 petang untuk disolatkan sebelum keluar secara berasingan dan dibawa pulang ke kampung masing-masing bagi urusan pengebumian.

Waris lapan mangsa itu dibenarkan masuk bagi menyambut ketibaan jenazah di kem berkenaan selepas dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.

Terdahulu, semua 10 jenazah mangsa nahas itu dibawa dari Jabatan Forensik itu dengan kenderaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 4.35 petang.

Lapan jenazah Islam ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad; Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli; Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi; dan Pegawai Waran II TNL Nurfarahimi Mohd Suady.

Selain itu, turut dibawa ke situ ialah Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; Bintara Muda TNL Nor Rahiza Anuar; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; dan Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin.

Dua jenazah bukan Islam terus dibawa pulang selepas bertolak dari jabatan forensik berkenaan.

Jenazah mendiang Leftenan Sivasutan Thanjappan dibawa ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan esok, manakala jenazah mendiang Laskar Kanan JJM Joanna FeliciaRohna dibawa pulang ke Serian, Sarawak menggunakan pesawat C-130 TUDM.

TLDM berkata, proses bedah siasat 10 mangsa nahas helikopter itu selesai jam 2.20 petang tadi. – ND

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *