KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersedia berdepan calon Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya usaha musyawarah antara kedua-dua parti gagal mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu menerima kemungkinan berlakunya pertembungan sesama sendiri jika tiada sebarang penyelesaian dicapai dalam rundingan yang sedang berlangsung.
“Ya, tidak mengapa. Kalau sudah tiada lagi ruang untuk bermusyawarah dan berlaku pertindihan tuntutan kerusi, kita terima sahaja keadaan itu,” katanya.
Muhyiddin bagaimanapun melahirkan rasa dukacita apabila kepimpinan Bersatu sehingga kini tidak dipanggil menghadiri sebarang mesyuarat melibatkan persiapan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, selaku Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), beliau bersama beberapa Ahli Jawatankuasa Tertinggi PN daripada Bersatu juga tidak menerima sebarang jemputan rasmi untuk menghadiri mesyuarat berkaitan hala tuju gabungan tersebut menjelang pilihan raya.
“Saya tidak faham mengapa perkara ini berlaku. Sewajarnya Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memanggil mesyuarat parti-parti komponen untuk berbincang mengenai situasi semasa kerana apa yang berlaku sekarang amat kritikal.
“Perkembangan politik mutakhir memberi kesan langsung kepada PN dan kedudukan parti-parti dalam gabungan ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kegagalan mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi boleh menyebabkan pertandingan terbuka atau ‘free for all’ yang berisiko merugikan semua pihak.
“Kalau tiada keputusan dibuat, siapa yang hendak bertanding? Adakah kita akan biarkan pertandingan terbuka berlaku? Itu berbahaya kerana boleh menyebabkan pertembungan sesama sendiri.
“Jika itu akhirnya menjadi keputusan, maka kita akan bertembung. Sebab itu saya berpandangan Pengerusi PN perlu memanggil mesyuarat dengan segera,” katanya.
Kenyataan Muhyiddin itu hadir di tengah-tengah ketidaktentuan hubungan antara Pas dan Bersatu susulan keputusan Pas untuk menamatkan kerjasama politik dengan parti berkenaan.
Pada Sabtu lalu, Pas mengejutkan landskap politik negara apabila mengumumkan ketetapan menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan Bersatu selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membincangkan hala tuju parti dalam menghadapi fasa politik baharu.
Susulan perkembangan itu, pelbagai persoalan timbul mengenai masa depan hubungan kedua-dua parti dalam PN, termasuk kedudukan Bersatu dalam gabungan berkenaan menjelang PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri dilaporkan berkata status Bersatu dalam PN akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat akan datang.
Perkembangan terbaharu itu dilihat berpotensi mengubah percaturan politik pembangkang menjelang PRN Johor, terutama jika kegagalan rundingan menyebabkan berlakunya pertembungan langsung antara calon Pas dan Bersatu di beberapa kerusi strategik.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L