SEREMBAN – Ibu bapa atau penjaga diminta memaklumkan kepada guru atau pihak sekolah mengenai status kesihatan anak masing-masing bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku terhadap pelajar ketika aktiviti kokurikulum di sekolah.
Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr. Roslan Hussin berkata, dengan itu, sekolah mendapat maklumat tepat mengenai kedudukan seseorang pelajar, sekali gus mereka yang mempunyai masalah kesihatan dapat dikecualikan kegiatan kokurikulum.
“Pelajar-pelajar ini minat untuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah atas dasar kawan yang lain menyertainya, guru atau pihak sekolah tidak mempunyai maklumat kesihatan setiap pelajar.
“Apabila kita minta maklumat kesihatan, ada ibu bapa tidak memberikannya mungkin beranggapan ia perkara biasa.
“Oleh itu, ibu bapa atau penjaga dan pelajar itu sendiri mesti memaklumkan kepada guru atau pihak sekolah mengenai status kesihatan, mereka perlu secara jujurnya memaklumkan kepada guru-guru mengenai kesihatan atau rekod kesihatan masing-masing,” katanya.
Beliau mengulas kejadian seorang pelajar lelaki sekolah menengah dekat Jalan Kampung Gentam, Taman Fatimah, Kuala Pilah, yang meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa sekolah itu pagi semalam.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, dikejarkan ke hospital dan diberikan rawatan, namun disahkan meninggal dunia dua jam kemudian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab dilaporkan berkata, remaja berkenaan menyertai sukan anjuran sekolah itu bersama kira-kira 700 pelajar lain jam 8 pagi.
“Ia membabitkan larian sejauh tujuh kilometer. Jam 9.30 pagi ketika mangsa menghampiri garisan penamat, tiba-tiba dia dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.
Difahamkan, guru di lokasi memberikan bantuan pernafasan, tetapi remaja berkenaan tiada tindak balas sebelum pihak sekolah menghubungi talian kecemasan 999.
Roslan berkata, setiap sekolah sememangnya mematuhi garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi aktiviti luar bilik darjah ketika cuaca panas.
Sebarang aktiviti luar bilik darjah tidak boleh dijalankan, sekiranya suhu mencapai 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
Menurutnya, pihaknya melahirkan rasa sedih dengan kejadian itu berikutan pihak sekolah tidak mempunyai maklumat berkaitan status kesihatan pelajar terbabit.
Roslan menegaskan, perkara itu juga adalah di luar kawalan pihak sekolah dan guru. – Dipetik laporan BH Online
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!