BERITA UTAMA

Akmal berhak soal PM isu tahanan rumah, Zaid beritahu Adam

PETALING JAYA – Datuk Zaid Ibrahim mempertahankan respon Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh berhubung kenyataan balas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan titah jilid tambahan Yang di-Pertuan Agong.

Ahli UMNO itu, pada masa sama menegur tindakan Ketua Pemuda PKR, Adam Adli mengkritik Dr. Akmal yang mahu Anwar memperjelaskan kepada umum sama ada benar atau tidak titah tambahan itu yang mahukan Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman tahanan rumah.

Kata bekas Menteri Undang-Undang itu, tindakan Dr. Akmal Saleh adalah bertanya kepada Anwar, beliau tahu atau tidak isu itu.

“Dalam hal ini, Dr. Akmal betul dan Adam salah. Dakwaan isu perintah tambahan mengenai tahanan rumah terhadap Najib adalah penting dalam banyak perkara.

“Dr. Akmal berhak, sama seperti kebanyakan kita untuk bertanya sama ada Perdana Menteri tahu mengenai isu itu.

“Adam bukanlah orang yang akan membela Anwar. Dia perlu memberikan penjelasan serius mengenai tindakan Perdana Menteri itu,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Semalam, Dr. Akmal menolak kenyataan Anwar sebagai berkata, afidavit difailkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menyokong Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah dibuat atas kapasiti sebagai Presiden UMNO.

“Ini bukan soal presiden parti atau kerajaan. Ini soal sama ada kerajaan mahu menjunjung titah atau sebaliknya? Rakyat mahukan penjelasan, bukan alasan,” kata Dr. Akmal di Facebooknya.

Pemimpin UMNO itu berkata demikian sebagai respons kepada Anwar yang memaklumkan beliau tidak mahu terlibat dalam perbincangan “perintah tambahan” mengenai tahanan rumah, didakwa dikeluarkan bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Januari lalu.

Adam kemudian berkata, Dr. Akmal menyinggung Anwar, yang juga Presiden PKR.

Malah, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu mengingatkan Dr. Akmal supaya menghormati Anwar sama seperti layanan baik mereka terhadap Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO.

Dalam catatannya, Zaid turut mempersoalkan sama ada Anwar menyembunyikan isu lain juga daripada pengetahuan Jemaah Menteri.

Zaid berkata, kewajipan Anwar untuk memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai segala hal yang berlaku supaya keputusan boleh dibuat secara kolektif. – FMT

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *