POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian D6 Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menganjurkan Penilaian Kecekapan dan Kecerdasan Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM bagi tahun 2024 yang berlangsung di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) pagi ini.

Penilaian yang julung kali diadakan itu bertujuan menguji kemahiran pengesanan, kepatuhan dan skil perlindungan serta menilai sama ada aset pasukan tersebut mempunyai sifat dan ciri sesuai untuk menjalankan tugas di lapangan.
Program yang dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain itu telah mempamerkan ketangkasan enam anjing dari baka German Shepherd dan Labrador.

Semua anjing telah terlibat dalam empat acara yang dipertandingkan iaitu IG Obedience dan Lompat Halangan, Mengesan Bahan Letupan dan Senjata, Mengesan Bahan Narkotik serta Hold and Bark/Mengawal Keganasan.
Dalam program itu, Lans Koperal Albert Patrick dari Unit K9 PULAPOL Kuala Lumpur bersama anjingnya bernama Henbriks telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan yang membawa pulang medal, sijil penghargaan dan piala pusingan.

Berucap merasmikan program, Razarudin menzahirkan ucapan penghargaan kepada Unit K9 khususnya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Suhaily Mohd Zain atas penganjuran program tersebut.
“Program ini menjadi platform terbaik untuk menilai tahap kecekapan pemegang anjing, sekali gus boleh dijadikan kriteria untuk kenaikan pangkat para handler”, ujar beliau.
Hadir sama, Timbalan KPN, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, barisan Timbalan Pengarah PDRM, Ketua Penolong Pengarah D6, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Zuraimi Zam Zam selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur serta barisan Pegawai Kanan PDRM. – ND
Kredit: Jurugambar Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Lans Koperal Bryan Mustin.
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!
