Dari Meja Editorial ND
KRISIS politik, adat dan institusi diraja Negeri Sembilan yang berlarutan sejak April lalu sepatutnya menjadi pengajaran besar kepada semua pihak, khususnya kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang mengambil alih pentadbiran negeri, bahawa kuasa politik bukan lesen untuk mencampuri urusan adat dan institusi yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam sistem pemerintahan negeri itu.
Dari awal lagi, sebaik sahaja BN memperoleh mandat membentuk kerajaan negeri, kepimpinannya sepatutnya mengambil pendekatan matang, profesional dan berhati-hati dalam menangani kemelut membabitkan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dengan Undang Yang Empat.
Dalam keadaan pertikaian menyentuh kedudukan institusi diraja dan kedaulatan Adat Perpatih, kerajaan negeri sepatutnya bertindak sebagai pihak meredakan keadaan, bukannya mengambil pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyebelahi mana-mana kelompok bertelagah.
Malangnya, perkembangan selepas pembentukan kerajaan baharu memperlihatkan pendekatan semakin mengheret pentadbiran negeri ke dalam pertikaian berkenaan.
Belum pun reda suasana politik selepas perubahan kerajaan, isu penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 19 April 2026 mula mencetuskan polemik lebih besar apabila Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dikaitkan dengan dokumen proklamasi berkenaan.
Dokumen yang kemudiannya didedahkan oleh Undang Yang Empat itu menunjukkan tandatangan Ismail bagi mengesahkan proklamasi penurunan takhta tersebut.
Perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan besar mengenai peranan kerajaan negeri dalam pertikaian yang pada asasnya berkait dengan tafsiran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan kedudukan institusi adat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pertikaian itu tidak terhenti setakat persoalan siapa mempunyai kuasa menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, sebaliknya ia berkembang menjadi krisis perlembagaan dan adat yang turut membabitkan kesahihan kedudukan beberapa Undang, tindakan Dewan Keadilan dan Undang serta pelantikan pemegang jawatan adat.
Apabila masing-masing mempertahankan tafsiran dan kedudukan sendiri, pentadbiran negeri akhirnya turut terheret dalam kemelut yang sepatutnya ditangani melalui saluran perundangan dan adat secara tertib.
Lebih membimbangkan, pertikaian yang pada mulanya berkisar mengenai institusi adat akhirnya melibatkan kedudukan Menteri Besar, barisan Exco dan hubungan antara kerajaan negeri dengan istana.
Keadaan itu memperlihatkan betapa mahalnya harga yang perlu ditanggung apabila pertimbangan politik, kuasa pentadbiran dan kepentingan institusi tidak dipisahkan dengan cermat.
Namun, perkembangan politik selepas itu menunjukkan kemelut berkenaan akhirnya turut memberi tekanan kepada kerajaan negeri sendiri.
Pada 16 September, kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dipengerusikan Ismail dilaporkan memutuskan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan berkuat kuasa.
Keputusan itu sekali lagi mengeruhkan keadaan apabila kerajaan negeri dilihat mengambil pendirian jelas dalam pertikaian tersebut. Lebih jauh, pada 17 September, Ismail bersama barisan Exco ketika itu menyatakan sokongan terhadap usaha mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.
Persoalannya, apakah kerajaan negeri benar-benar mendapat manfaat daripada pendirian sedemikian?
Sebaliknya, krisis semakin melebar sehingga menyaksikan kedudukan barisan Exco turut terjejas. Pentadbiran negeri berhadapan situasi luar biasa apabila Menteri Besar perlu meneruskan urusan kerajaan tanpa barisan Exco yang sebelum itu dilantik.
Dalam keadaan sedemikian, rakyat tentunya berhak bertanya sampai bila urusan pentadbiran negeri hendak dibayangi pertikaian yang tidak berkesudahan.
Belanjawan Negeri 2027, pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat, pelaburan dan pelbagai keperluan masyarakat tidak sepatutnya menjadi mangsa kepada kemelut politik serta perselisihan institusi.
Bagaimanapun, perkembangan pada November mula memperlihatkan perubahan pendekatan apabila Ismail bersama 10 bekas anggota Exco menarik balik surat bertarikh 17 September yang mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Keputusan itu diumumkan pada 14 November dan dilihat sebagai langkah penting membuka semula ruang penyelesaian antara kerajaan negeri dengan pihak istana.
Ismail turut menyatakan sokongan terhadap kedudukan Tuanku Muhriz, manakala surat penarikan balik berkenaan menjelaskan komitmen untuk menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta menghormati institusi diraja.
Perkembangan itu wajar dilihat sebagai satu pengakuan bahawa jalan penyelesaian tidak boleh dicapai jika setiap pihak terus mempertahankan pendirian tanpa mengambil kira kesan terhadap kestabilan negeri.
Namun, penarikan balik surat berkenaan tidak bermakna semua persoalan sudah selesai. Kedudukan 10 bekas Exco yang pelantikannya dibatalkan masih belum dimuktamadkan, manakala beberapa pertikaian berkaitan institusi adat turut memerlukan penyelesaian melalui saluran yang sah.
Justeru, langkah seterusnya perlu dibuat dengan penuh kebijaksanaan, termasuk memulihkan hubungan antara Menteri Besar dengan istana serta memastikan urusan pelantikan barisan pentadbiran negeri dapat diselesaikan mengikut lunas perlembagaan.
Dalam konteks Negeri Sembilan, perkara ini lebih besar maknanya kerana negeri itu mempunyai keunikan sistem pemerintahan berasaskan Adat Perpatih yang diwarisi turun-temurun.
Adat Perpatih bukan sekadar susunan sosial masyarakat atau warisan budaya yang dipamerkan ketika istiadat rasmi. Ia mempunyai prinsip, tertib, hierarki dan mekanisme tersendiri dalam menentukan kedudukan pemimpin adat serta institusi pemerintahan.
Falsafah kepemimpinan Adat Perpatih yang sering dikaitkan dengan prinsip ‘kuasa dari bawah ke atas’ membawa pengertian bahawa kewibawaan seseorang pemimpin tidak boleh dipisahkan daripada pengiktirafan dan persetujuan pihak yang mempunyai hak menurut adat.
Prinsip itu juga mengingatkan bahawa kuasa bukan sesuatu yang boleh digunakan sesuka hati tanpa mengambil kira tertib dan aturan yang telah dipersetujui.
Justeru, semua pihak, termasuk kerajaan negeri, Undang Yang Empat, institusi adat dan pihak istana, perlu menghormati sempadan bidang kuasa masing-masing.
Tidak wajar mana-mana pihak menjadikan kedudukan politik atau kekuatan sesuatu kelompok sebagai alasan untuk mengetepikan aturan yang telah sekian lama menjadi asas pemerintahan Negeri Sembilan.
Kerajaan negeri mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan pentadbiran berjalan lancar, projek pembangunan diteruskan dan segala perancangan yang telah dijanjikan kepada rakyat tidak tergendala.
Persidangan Dewan Undangan Negeri dan pembentangan Belanjawan 2027 juga perlu diberikan keutamaan. Ismail sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan negeri merancang mengadakan persidangan DUN pada 26 November, diikuti pembentangan belanjawan pada 27 November, tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz.
Belanjawan bukan sekadar dokumen angka dan peruntukan kewangan. Ia menyentuh kehidupan rakyat, daripada bantuan kebajikan, pembangunan luar bandar, kemudahan pendidikan dan kesihatan hinggalah peluang ekonomi serta kesejahteraan masyarakat.
Oleh itu, segala urusan berkaitan persidangan DUN dan kelulusan belanjawan perlu diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang tanpa menjadikan kemelut institusi sebagai alasan untuk menangguhkan tanggungjawab kepada rakyat.
Pada masa sama, kepimpinan BN perlu mengambil iktibar daripada episod yang berlaku. Mandat politik yang diperoleh melalui pilihan raya membawa tanggungjawab mentadbir, bukan memberikan keistimewaan untuk menentukan perjalanan institusi lain yang mempunyai bidang kuasa tersendiri.
Kematangan seseorang pemimpin bukan diukur melalui keberaniannya membuat keputusan ketika mempunyai kuasa, tetapi sejauh mana dia mampu mengawal keadaan, menghormati perbezaan dan mencari jalan penyelesaian apabila berhadapan krisis.
Begitu juga Undang Yang Empat dan institusi adat. Apa juga perbezaan yang timbul perlu diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berlandaskan tertib adat, bukan dengan tindakan yang berpotensi memanjangkan pertikaian.
Akhirnya, rakyat Negeri Sembilan tidak mahu terus menjadi penonton kepada pertelingkahan antara pemimpin politik, institusi adat dan istana.
Mereka mahu sebuah kerajaan yang stabil, pemimpin yang boleh bekerjasama dan institusi pemerintahan yang dihormati.
Kini, cukuplah berbalas kenyataan, mempertahankan ego dan menguji kekuatan masing-masing. Jangan sampai perselisihan yang bermula dengan pertikaian kedudukan akhirnya merugikan sebuah negeri yang mempunyai sejarah pemerintahan dan adat begitu unik.
Kemelut ini sepatutnya menjadi pengajaran bahawa kuasa politik ada batasnya, adat mempunyai tertibnya dan institusi diraja mesti dihormati kedudukannya.
Negeri Sembilan tidak boleh terus hidup dalam bayang-bayang krisis yang sama.
Sudah tiba masanya semua pihak berdamai dengan keadaan, menyelesaikan baki pertikaian secara terhormat dan kembali memberikan tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing.
Tutup buku lama, jangan diungkit kembali persengketaan yang tidak membawa keuntungan kepada sesiapa. Buka lembaran baharu dengan semangat muafakat, hormat-menghormati dan kesetiaan kepada perlembagaan serta adat.
Negeri Sembilan memerlukan kestabilan, bukan satu lagi episod perebutan kuasa. Rakyat menunggu hasil pemerintahan, bukannya kesinambungan kemelut.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
