KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan kira-kira 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dilaporkan dimenangi tanpa bertanding disifatkan berpotensi menjejaskan kualiti amalan demokrasi negara.
Naib Presiden PERKASA, Irwan Fahmi Ideris, berkata perkembangan itu bukan sekadar membabitkan soal kemenangan calon atau persaingan antara parti politik, sebaliknya menyentuh prinsip asas demokrasi yang menjamin hak rakyat memilih, bersuara dan menentukan kepimpinan mereka.
Menurutnya, walaupun kemenangan tanpa bertanding dibenarkan di bawah undang-undang pilihan raya, keadaan apabila sebahagian besar kerusi tidak melalui proses pertandingan dan pengundian kompetitif perlu diberikan perhatian serius.
Beliau berkata situasi itu berpotensi mengehadkan hak pengundi untuk membandingkan calon, menilai tawaran parti politik dan menentukan pilihan melalui peti undi.
“Pengundi kehilangan peluang untuk membandingkan calon dan menentukan pilihan mereka, manakala suara kelompok masyarakat yang mahukan alternatif politik mungkin tidak mendapat ruang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Irwan Fahmi berkata ketiadaan persaingan pilihan raya turut menimbulkan persoalan mengenai tahap akauntabiliti wakil rakyat kerana pertandingan politik merupakan antara mekanisme penting untuk memastikan seseorang pemimpin terus bertanggungjawab terhadap masyarakat yang diwakilinya.
Selain itu, katanya, kekurangan persaingan politik berpotensi melemahkan sistem semak dan imbang, khususnya apabila kepelbagaian pandangan serta kritikan terhadap dasar kerajaan tidak mendapat ruang yang mencukupi.
Beliau turut berpandangan keadaan itu boleh mengehadkan perbahasan mengenai dasar dan pembangunan apabila pengundi tidak berpeluang menilai pelbagai tawaran, manifesto serta pendekatan yang dikemukakan oleh parti-parti bertanding.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurutnya, keadaan sedemikian juga berisiko menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap proses demokrasi sekiranya pilihan raya dilihat tidak lagi menyediakan ruang persaingan politik yang mencukupi.
Sehubungan itu, PERKASA menegaskan kestabilan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengetepikan kepentingan demokrasi, sebaliknya kerajaan yang kuat perlu bersedia menerima kritikan, perbezaan pandangan dan mekanisme semak imbang.
Irwan Fahmi turut mengingatkan bahawa kemenangan tanpa bertanding tidak boleh disamakan secara automatik dengan mandat sokongan majoriti rakyat kerana tiada proses pengundian kompetitif berlangsung di kerusi berkenaan.
“Demokrasi yang sihat mesti menjamin ruang penyertaan politik yang terbuka, adil dan bertanggungjawab.
“Hak rakyat bukan sekadar untuk mengundi, tetapi juga untuk mempunyai pilihan, menyuarakan ketidakpuasan hati dan menilai kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata amalan demokrasi tidak seharusnya terhenti pada pematuhan peruntukan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan politik yang menghormati hak dan suara rakyat.
“Jangan sampai demokrasi hanya tinggal nama, sedangkan hak rakyat untuk memilih dan bersuara semakin terhakis,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
